Penemuan Bom Di Damansara Perdana Tiada Kaitan Dengan Keganasan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penemuan bom buatan sendiri di sebuah kondominium di Damansara Perdana awal pagi ini tiada kaitan dengan pengganas Daesh.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal polis, penemuan itu dipercayai lebih bermotifkan kepada aktiviti jenayah melibatkan beberapa individu dan bukan tujuan keganasan.

"Beberapa kesimpulan polis, tiada kaitan dengan Daesh...keadaan keselamatan negara masih lagi terkawal, kami memberi jaminan kepada orang ramai khasnya penduduk sekitar kondominium (Damansara Perdana), polis sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Sepetang Penulis Bersama Timbalan Perdana Menteri di Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), di sini hari Ahad.

Awal pagi Ahad lebih 200 penduduk kondominium di Damansara Perdana gempar apabila dimaklumkan terdapat lima butir bom ditemukan dalam sebuah unit kediaman itu pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata serbuan yang dibuat hasil risikan awal itu berjaya menemukan bahan letupan itu dalam sebuah unit di tingkat 17 bangunan berkenaan pada 4.30 pagi tadi.

Kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada