Pemimpin Umno Dungun Zahir Solidariti Hadapi PRU-14

DUNGUN - Program Himpunan Padu Rakyat Dungun di sini hari ini menyaksikan Ketua UMNO Bahagian Dungun Datuk Din Adam dan bekas ketuanya Datuk Rosli Mat Hassan menzahirkan solidariti di hadapan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia berlaku secara spontan apabila Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO menjemput Rosli naik ke pentas bagi menyatakan sokongan kepada Din dalam usaha merampas kembali tiga kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen Dungun dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14)akan datang.

Rosli yang memegang jawatan itu hampir 13 tahun terus naik ke atas pentas dan memeluk Din selain mengangkat tangan bersama-sama sebagai tanda solidariti.

Suasana menjadi lebih hangat apabila Rosli menjemput Timbalan Ketua UMNO bahagian Roslee Daud serta Ketua Wanita Zainon Abu Bakar; Ketua Pemuda Mohd Asri Mohammad, Ketua Puteri Arlina Rosli dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman untuk sama-sama mengikrarkan solidariti mereka.

Pada pilihan raya umum ke-13, UMNO Terengganu tewas di tiga kerusi DUN iaitu Paka, Sura dan Rantau Abang dan Parlimen Dungun.

Sementara itu, Rosli ketika ditemui Bernama berkata beliau akan terus berusaha memastikan kemenangan parti pada PRU14 walaupun berjuang tanpa sebarang jawatan.

Din pula berkata beliau berterima kasih atas kerendahan hati Rosli yang sedia merapatkan barisan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada