Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera: 20 kementerian capai KPI 100 peratus

PUTRAJAYA: Sebanyak 20 kementerian mencapai sasaran 100 peratus bagi 98 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) bagi 2015, manakala lima lagi kementerian mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata perkara itu dimaklumkan pada Mesyuarat Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan beliau di Perdana Putra di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, antara pencapaian utama yang dicapai selepas pelaksanaan KPI itu tahun lalu termasuk bilangan syarikat vendor dan 'anchor' dalam Program Pembangunan Vendor ditingkatkan daripada 68 syarikat pada 2014 kepada 90 syarikat pada 2015.

Pemilikan hartanah komersial di kawasan strategik oleh usahawan Bumiputera serta peningkatan nilai aset menerusi Skim Penyewaan serta Pemilikan Hartanah pula mencatat pencapaian 98.3 peratus.

"Selain itu, nilai kontrak sebanyak RM4.1 bilion (kumulatif) diberikan kepada kontraktor Bumiputera bagi menjayakan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi dan pemindahan teknologi kepada Bumiputera dengan nilai kontrak sekurang-kurangnya RM120.8 juta dan penjenamaan nilai pasaran sebanyak RM2.3 bilion," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MEB di sini.

Perdana Menteri berkata, bagi memastikan KPI PEB selari dengan Rancangan Malaysia Ke-11, antara KPI yang ditetapkan tahun ini termasuk mencapai 50.6 peratus nilai kontrak Bumiputera (2017) berbanding keseluruhan kos projek dalam MRT 1 dan mencapai 25 peratus nilai kontrak Bumiputera berbanding kos keseluruhan projek Menara Permodalan Nasional Berhad (PNB) 118 (Warisan Merdeka).

"Selain itu, 30 peratus agihan kepada kontraktor Bumiputera dalam projek pembinaan lebuh raya utama dan satu penghasilan kajian pembangunan kerangka operasi serta pelan perniagaan Perbadanan Wakaf Nasional Bhd," katanya.

-Berita Harian-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada