MIT Syarat Baharu Sertai PDRM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkenalkan ujian psikometrik, Malaysian Integrity Test (MIT), iaitu ujian penilaian sahsiah diri, sebagai prasyata pengambilan baru anggota PDRM mulai tahun ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ujian itu diperintiskan sejak tahun lepas dan didapati ia sesuai dengan matlamat pasukan itu bagi memastikan warga polis yang direkrut berkualiti dan berintegriti tinggi.

"Mereka yang lulus ujian penilaian sahsiah diri ini saja akan dipanggil untuk temu duga dan apabila mereka ini berjaya baru dipanggil berkhidmat dengan PDRM," katanya kepada pemberita selepas pelancaran ujian itu di tapak pameran PDRM pada pameran dan persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di sini, hari ini.

Pelancaran ujian itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid meluangkan masa 15 minit di tapak pameran itu sebelum melawat tapak pameran lain, antaranya syarikat perkhidmatan berkaitan teknologi radio bagi angkatan tentera darat, Sapura Secured Technologies; syarikat penyediaan pakaian seragam, Jakel Defence System Sdn Bhd; dan Rafale International, syarikat Perancis yang mengeluarkan pesawat pejuang.

Mengulas lanjut mengenai ujian itu, Khalid berkata ia merupakan penilaian integriti berteknologi tinggi yang disokong dan dibangunkan bersama PDRM dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensi penyelidikannya MIMOS Berhad.

Katanya ujian itu juga akan diambil kira untuk penempatan dan kenaikan pangkat.

"Di samping itu, kualiti peribadi serta kredibiliti seseorang individu khususnya dalam kerjaya, kebolehan memimpin serta keteraturan dalam melaksanakan tugas boleh dikenalpasti melalui ujian tersebut," kata Khalid.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada