Malaysia Sasar 15 Emas Pada ASC 2016

Malaysia menyasarkan 15 pingat emas pada Pertandingan Kemahiran Asean (ASC) ke-11 yang akan berlangsung dari 23 hingga 28 Sept ini di sini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata sasaran itu boleh dicapai berasaskan prestasi Malaysia pada ASC ke-10 di Vietnam yang telah berjaya merangkul sembilan emas.
 
"Saya yakin kita boleh capai sasaran itu. Kita juga berharap pasukan negara dapat menjadi juara keseluruhan," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran kempen promosi ASC 2016 pada badan koc LRT di Stesen LRT Ampang di sini, hari ini.

Kempen promosi itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melepaskan enam kereta promosi ASC 2016 yang ditaja Proton serta menyampaikan sijil penghargaan kepada 20 penaja program tersebut.

Mengulas lanjut, Richard berkata beliau menyasarkan Malaysia memperoleh emas dalam beberapa bidang seperti teknologi maklumat, teknologi automobil, kejuruteraan dan dandanan rambut.

Seramai 266 peserta dari sembilan negara ASEAN kecuali Brunei akan menyertai pertandingan dwitahunan itu kali ini.

Richard berkata Malaysia akan menghantar 48 peserta untuk semua 25 bidang kemahiran yang dipertandingkan.

Antara bidang yang dipertandingkan adalah penyelenggaraan pesawat, reka bentuk kejuruteraan mekanikal, automasi industri dan maklumat rangkaian kabel.

ASC 2016 dijadualkan bermula dengan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal pada 25 hingga 28 April ini manakala kemuncak pertandingan akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang pada September.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada