Kerajaan Terbuka Kepada Cadangan Syarikat Perniagaan Mengenai Pekerja Asing

Kerajaan akan mengumumkan keputusan mengenai pengambilan pekerja asing dalam masa terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, untuk sementara kerajaan terbuka kepada cadangan dan syor daripada syarikat perniagaan mengenai perkara itu dan majikan juga meminta supaya pembekuan itu ditarik balik.

"Kerajaan memahami keperluan sektor-sektor tertentu yang memerlukan pekerja asing. Bagaimanapun, keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat," kata beliau pada majlis makan malam pelantikan anggota Majlis Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) 2016, di sini Rabu malam.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan Presiden MRCA Datuk Garry Chua Kah Seng.

Pada Februari lepas, kerajaan membuat keputusan untuk membekukan pengambilan semua pekerja asing ke Malaysia termasuk dari Bangladesh sementara kerajaan mengkaji program levi dua tahap untuk pekerja asing.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata perniagaan runcit ialah sektor penting dalam ekonomi Malaysia yang moden kerana sektor itu ialah penyumbang keempat terbesar kepada ekonomi negara selepas minyak dan gas, pertanian dan pembuatan.

"Bagaimanapun, berhubung sumbangan kepada ekonomi rakyat, sektor runcit ialah sebahagian daripada ekonomi kita pada masa depan," kata beliau.

Ahmad Zahid berkata kerajaan memberi galakan kepada perniagaan runcit di Malaysia dengan memperkenalkan beberapa inisiatif yang secara langsung dan tidak langsung memanfaatkan sektor peruncitan di negara ini.

Beliau berkata langkah-langkah itu termasuk menyediakan peruntukan tambahan RM1 bilion untuk Skim Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Patuh Syariah sehingga 31 Disember 2017 dengan kerajaan memberi subsidi dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan.

"Kerajaan juga memperuntukkan RM107 juta untuk Pelan Pembangunan PKS untuk menyediakan dana bagi entiti di pelbagai peringkat pembangunan perniagaan dan RM60 juta bagi Skim Anjakan Usahawan.

"Kerajaan juga memperkenalkan Skim Peningkatkan Kapasiti dan Keupayaan PKS dan menubuhkan Tabung Transformasi PKS RM200 juta di bawah SME Bank bagi menyediakan pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus," kata beliau.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata peruncit juga memainkan peranan penting untuk memastikan lebih ramai pelancong tertarik kepada Malaysia kerana kerajaan menyasarkan untuk menarik kira-kira 30.5 juta pelancong tahun ini yang dijangka menyumbang RM103 bilion kepada ekonomi.

"Bagi memudahkan pelancong melawat Malaysia, kerajaan akan melaksanakan e-visa pada pertengahan 2016. Sebagai insentif kepada pengusaha pelancongan, pengecualian cukai 100 peratus terhadap pendapatan berkanun akan dilaksanakan bagi tahun penilaian 2016 hingga 2018.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi