Keperluan Kaum Cina Terus Diberi Perhatian

Keperluan kaum Cina terus mendapat perhatian kerajaan apabila peruntukan RM500,000 disediakan bagi menaik taraf dua buah sekolah di sini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peruntukan itu akan disalurkan untuk menaik taraf kemudahan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Pei Min dan Sekolah Kebangsaan Pujut Corner demi keselesaan pelajar.
 
Berucap di majlis 'Jom Berambeh' bersama penduduk di Pasar Malam Saberkas di sini, malam ini, beliau berkata sejumlah peruntukan juga akan disediakan untuk menaik taraf bumbung pasar malam itu.

"Kami mahu penjaja-penjaja cari rezeki dengan selesa dan majukan sekolah-sekolah untuk keselesaan murid-murid," katanya.

Turut hadir, calon BN bagi kerusi Pujut Datuk Hii King Chiong, calon BN Senadin Datuk Lee Kim Shin dan calon BN Piasau Datuk Sebastian Ting serta Presiden Persatuan Penjaja Pasar Malam Saberkas, Abdul Rahman Jawawi.

Ahmad Zahid berkata cadangan peruntukan yang diminta oleh Hii jelas menunjukkan beliau prihatin terhadap keperluan rakyat.

"Kita mahukan wakil rakyat BN yang dipilih cari peruntukan untuk rakyat, wakil rakyat juga harus dipilih untuk tolong rakyat keseluruhannya," kata beliau.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengajak pengundi Cina untuk menyokong BN supaya wakil kaum itu dapat berada dalam Kabinet negeri.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi