Kejayaan PNB Perlu Dijadikan Penanda Aras Syarikat Agensi Amanah

Kejayaan yang dicapai Permodalan Nasional Bhd (PNB) perlu dijadikan penanda aras kepada syarikat agensi amanah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata syarikat agensi amanah perlu mencontohi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tatacara perniagaan yang dilaksanakan PNB.

PNB mampu mengekalkan prestasi yang baik di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi kerana agensi itu memiliki daya juang, daya tahan dan daya saing luar biasa, katanya.

"Ketika Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengalami masalah nilai eksport, pertukaran mata wang, (namun) semua kekangan ini merupakan kitaran hayat yang terpaksa dihadapi.

"Walaupun PNB menghadapi tekanan serta kekangan dari dalam dan luar, saya kagum dari dulu hingga sekarang, PNB tetap mencapai kejayaan yang kita lihat hari ini," katanya ketika berucap menutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2016 di Stadium Tun Ahmad Sarji di sini, hari ini.

Turut hadiri Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ahmad Zahid berkata kejayaan yang dicapai PNB cukup mengagumkan sebagai pemegang ekuiti dalam 200 syarikat pelbagai sektor ekonomi negara.

"Kita lihat bahawa (kejayaan) yang dicapai PNB sebagai pengurus saham amanah dan syarikat hartanah dengan memegang ekuiti dalam lebih 200 syarikat, sama ada majoriti atau minoriti.

"Ini memperlihatkan komitmen, keikhlasan dan ketelusan pengurus yang profesional dibantu anggota lembaga pengarah yang berketrampilan dalam pelaburan, ia amat kita sanjungi," katanya.

Beliau berkata cabaran PNB untuk mencapai kejayaan tidak boleh dipadamkan dari catatan sejarah, yang mana ketika itu terdapat anti 'establishment' selain ada pihak yang berpandangan penubuhan agensi itu tidak jelas dan tidak mengikut lunas syariah.

"Muzakarah mufti yang dipengerusikan oleh Allahyarham Tan Sri Syeikh Abdul Mohsin Salleh ketika itu telah mengeluarkan fatwa bahawa pelaburan ASB adalah mengikut lunas 'halalan toyyiban'," katanya.

Justeru itu, beliau berkata maklumat mengenai unit amanah perlu diperjelaskan sebelum ia memasuki pasaran.

Ahmad Zahid turut memuji Ketua Pegawai Eksekutif PNB yang pertama, Tan Sri Mohd Desa Pachi, kerana telah melunaskan tanggungjawab merealisasikan kejayaan agensi itu.

"Kejayaan 38 tahun adalah sesuatu yang harus disyukuri dan saya harap kita tidak mudah lupa dengan kesukaran yang dialami kepimpinannya sebelum ini, jangan lupa semua kekangan permasalahan yang menjadi perintis kejayaan ini," katanya.

Beliau berkata tugas yang dipikul Ahmad Sarji ketika ini juga amat mencabar, namun beliau percaya pengerusi PNB itu mampu menguruskan agensi tersebut dengan baik.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada