Kebenaran Terbukti Apabila PAC Keluarkan Laporan Mengenai 1MDB

Kebenaran akhirnya terbukti apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), sebuah badan dwipartisan, mengeluarkan laporan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditunggu-tunggu.

Laporan itu membuktikan bahawa percubaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan tukang kempennya untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak berasas dan didorong oleh kepentingan politik.

"RM42 bilion tidak hilang daripada 1MDB, dakwaan Dr Mahathir adalah tidak betul," kata Najib ketika mengulas dapatan secara konsensus oleh jawatankuasa itu terdiri daripada anggota parlimen kerajaan dan pembangkang yang dikeluarkan hari ini.

Najib berkata Dr Mahathir didorong oleh kepentingan peribadi, bukan kepentingan negara, dan hasrat untuk menjatuhkan kerajaan.

Dr Mahathir mendakwa bahawa RM42 bilion telah hilang daripada syarikat pelaburan strategik kerajaan itu dan menuding jari kepada Najib dan ini mendorong Pentadbiran Najib meminta Ketua Audit Negara pada Mac 2015 supaya menjalankan siasatan bebas ke atas akaun kewangan 1MDB.

Untuk membuktikan ketelusan kerajaan, pentadbiran Najib telah mengarahkan dapatan-dapatan laporan itu dihantar untuk semakan kepada PAC dan laporan mengandungi dapatan-dapatannya dibentangkan di parlimen.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata mungkin ada kelemahan dalam strategi perniagaan syarikat itu tetapi tiada bukti mengenai perbuatan jenayah.

"Kempen Dr Mahathir untuk menukar kerajaan di luar pilihan raya, berdasarkan dakwaan salahlaku di 1MDB telah gagal," kata beliau.

Salleh berkata kejayaan pelan rasionalisasi 1MDB adalah disebabkan asetnya lebih besar daripada liabilitinya sedangkan Proton (dahulu diterajui oleh Dr Mahathir) memerlukan suntikan dana kira-kira RM2 bilion daripada kerajaan untuk terus beroperasi.

"Dr Mahathir dan lain-lain dalam gabungan anti Najib harus bertanggungjawab bagi kerosakan ke atas reputasi Malaysia," kata beliau.

Najib berkata tindakan akan diambil jika ada bukti mengenai salahlaku berikutan dapatan laporan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihak bekuasa akan menjalankan siasatan ke atas bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB dan lain-lain seperti dicadangkan oleh laporan PAC.

"Laporan PAC menyangkal laporan mengenai "tangan-tangan ghaib" di sebalik operasi 1MDB," kata Ahmad Zahid.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman pula berkata laporan PAC mengesahkan bahawa Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan atau menyebabkan berlaku kesalahan jenayah.

Dalam perkembangan lain, lembaga pengarah 1MDB telah menawarkan untuk meletak jawatan berikutan dapatan-dapatan yang terkandung dalam laporan PAC, menurut kenyataan 1MDB.

Mengenai perkara lain, 1MDB berkata ia mempunyai lebihan tunai kira-kira RM2.3 bilion untuk membayar kadar faedah dan keperluan kewangan infrastruktur pada masa depan.

"Lembaga 1MDB menganggap laporan PAC sebagai dokumen komprehensif dan konklusif yang jelas mengandungi pelbagai fakta dan menyangkal pelbagai dakwaan mengenai syarikat," kata kenyataan itu.

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata laporan itu disediakan secara kolektif oleh jawatankuasa tersebut yang terdiri daripada anggota parlimen kerajaan dan pembangkang.

Dapatan-dapatan laporan itu, antara lain, menyatakan bahawa lembaga pengarah 1MDB tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk memantau aktiviti pengurusan 1MDB dan aliran tunainya.

Kegagalan mematuhi keputusan dan arahan lembaga pengarah ialah antara amalan yang menyebabkan kelemahan tadbir urus dalam 1MDB, kata laporan itu.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada