JTKSM Digesa Lebih Proaktif Salur Maklumat Peluang Pekerjaan Sektor 3D

Majlis Perundingan Melayu (MPM) menggesa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) supaya lebih inovatif dan proaktif untuk menyalurkan maklumat yang lebih menarik berhubung peluang pekerjaan dalam sektor 3D (bahaya, kotor dan sukar).

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad mencadangkan supaya JTKSM melakukan pengubahsuaian sistem promosi pekerjaan sektor 3D itu dengan memberi imej yang lebih baik dan berkualiti untuk menarik ramai rakyat tempatan mencari pekerjaan itu.

Hasan berkata sekiranya usaha itu digerakkan, ia akan memberi gambaran bahawa kerajaan sudah melakukan yang terbaik dalam menyediakan peluang kepada rakyat tempatan berbanding pekerja asing dalam pekerjaan 3D.

"Jika dulu pekerja ladang getah digambarkan hanya orang-orang tua dan pakaian kotor atau menanam padi dengan memakai kemeja-T sahaja, jadi anak-anak muda sekarang tiada minat ke arah itu. Imej-imej salah ini harus diperbetulkan.

"Soal gaji rendah, latihan tidak mencukupi atau mereka (rakyat tempatan) menolak disebabkan suasana pekerjaan 3D yang tidak kondusif, itu bukan masalah utama," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah kekurangan pekerja asing yang semakin meruncing selepas kerajaan membekukan tenaga kerja asing baharu dalam semua sektor kecuali pembantu rumah pada Mac lalu.

Pada 12 Mac, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan tidak akan mengambil pekerja asing baharu berkuat kuasa serta-merta.

Katanya jabatan itu perlu melakukan transformasi dalam mempromosi sektor pekerjaan 3D itu agar ia menjadi tempat rujukan rakyat tempatan yang ingin mendapatkan maklumat mengenai pekerjaan dalam sektor itu.

"Apabila kerajaan sudah lakukan yang terbaik dalam mempromosi peluang pekerjaan sektor 3D, barulah kita lihat apa kekurangan lain yang menyebabkan rakyat tempatan masih enggan bekerja dalam sektor itu," katanya.

Sementara itu, anggota jawatankuasa kluster pembangunan sosial Majlis Profesor Negara, Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din pula berpandangan masalah itu dapat diatasi sekiranya majikan mengubah pendekatan dengan merekrut rakyat tempatan berbanding mengambil pekerja asing.

Beliau berkata, usaha itu dapat menguntungkan majikan dalam tempoh jangka panjang kerana tiada lagi urusan yang melibatkan seperti pembaharuan permit, denda atau urusan imigresen.

"Pengambilan rakyat tempatan akan mewujudkan sistem kerjaya yang lebih sistematik yang sebelum ini orang menganggap bidang pertanian, perladangan dan perkilangan kerja yang tidak bagus.

"Tapi, apabila sistem itu distruktur dengan betul dan dihebahkan dengan berkesan, lebih ramai rakyat tempatan terutamanya belia yang gemar aktiviti lasak akan meneroka peluang itu," ujarnya.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada