Isu Agihan Kerusi, Pembangkang Tidak Cekap

KAPIT, 25 April - Perbalahan yang tidak berkesudahan dalam pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menunjukkan pembangkang tidak mampu menjalankan urus tadbir yang baik, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Itulah sebab parti-parti pembangkang bertelagah sesama sendiri dalam beberapa kawasan pilihan raya termasuk di luar bandar, katanya kepada pemberita selepas memberi sokongan moral kepada calon-calon BN di pusat penamaan calon Baleh, Pelagus dan Bukit Goram, pada Isnin.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), 7 Mei ini, Presiden PRS, Tan Sri Dr James Jemut Masing akan mempertahankan kerusi Baleh, muka baharu Wilson Nyabong, juga daripada PRS (Pelagus) dan calon PBB, Jefferson Jamit bagi kerusi Bukit Goram.


Menggesa rakyat supaya menolak pembangkang, Ahmad Zahid berkata: "Tidak ada alasan sebenar untuk rakyat Sarawak menyokong mereka.

"Mereka (pembangkang) datang dan pergi...tidak boleh menunaikan janji dan hanya janji mulut sahaja serta mengkritik dan menyebar politik kebencian dan kemarahan terhadap kerajaan".

Katanya DAP, yang sebelum ini memberi tumpuan kepada kerusi-kerusi di kawasan bandar, kini menampilkan calon di kawasan luar bandar kerana mahu menunjukkan kehadiran parti itu di seluruh negeri ini.

"Kononnya mereka mahu menjadi pembangkang yang kuat tetapi sebenarnya mahu 'kacau daun' kerana merela tahu tidak boleh menang," katanya.

Ahmad Zahid berkata Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melakukan usaha yang baik dalam menjaga kawasan luar bandar dan calon BN yang berjaya boleh bergantung kepada geran pembangunan.

Katanya Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan pasukannya boleh mengalahkan lawan masing-masing di 82 kerusi sekiranya jentera BN terus bekerja keras dengan sokongan menyeluruh daripada rakyat.

"Sarawak memerlukan pasukan wakil rakyat yang boleh membentuk kerajaan negeri yang mantap yang boleh terus memberi peruntukan pembangunan bukan sahaja kepada luar bandar tetapi juga ke kawasan bandar...sebab itu semua rakyat Sarawak harus menyokong 'Pasukan Adenan', " katanya,

Ahmad Zahid melihat kemenangan BN tanpa bertanding pada dua kerusi iaitu Bukit Sari dan Bukit Kota sebagai petanda yang amat positif terhadap keyakinan rakyat dengan gabungan parti memerintah itu.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada