Gajet Canggih Jejak Penyeludup Di Sempadan

Di dalam perbincangan Meja Bulat Jenayah Permasalahan Sempadan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) di Kangar, baru-baru ini, Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan supaya satu rangka kerja keselamatan sempadan Malaysia-Thailand dirumus bagi menangani kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia serta isu keselamatan lain di sempadan kedua-dua negara.

Bahkan penemuan kubur besar di dalam kem di hutan berhampiran sempadan di Wang Kelian tahun lalu, menunjukkan pemerdagangan manusia semakin berleluasa. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan bahawa negara kerugian sehingga RM7 bilion setahun akibat masalah sempadan negara yang dibolosi, termasuk kerugian barang bersubsidi.

Isu ini sudah lama berlaku dan masih lagi tidak dapat dibendung. Malah kegiatan ini menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara. Sepatutnya cadangan untuk membina tembok konkrit tinggi sudah dilaksanakan demi mengelak kegiatan penyeludupan ter-utama sekali manusia dan senjata api. Kini, dikatakan senjata api boleh diperoleh dengan mudah di Malaysia. Senjata api agak mudah diseludup dari negara jiran sama ada melalui jalan sah atau lorong tikus.

Apa yang penulis takuti ialah kini semakin banyak kejadian tembak menembak menggunakan senjata api yang dibimbangi diseludup secara haram. Keadaan ini sangat berbahaya dan menakutkan masyarakat termasuk pelancong asing. Pada Mei tahun lalu, penulis mencadangkan supaya diwujudkan satu agensi tunggal yang diberi tanggungjawab menjaga sempadan negara.

Entiti baharu babit tiga agensi teras

Pada November 2015, kerajaan bersetuju supaya Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dinaiktaraf menjadi Agensi Keselamatan Sempadan. Entiti baharu membabitkan tiga agensi teras, iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia itu juga turut membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan lain sebagai nilai tambah.

Malangnya, melalui penaiktarafan itu, tidak akan ada peruntukan dan perjawatan baharu diwujudkan. Cuma ia memberikan imbuhan kepada kakitangan dan pegawai UPP sekiranya mereka mempamerkan prestasi kerja cemerlang.

Pada pandangan penulis, adalah lebih berkesan jika agensi itu dijadikan agensi tunggal dan tiada kaitan dengan jabatan sedia ada di dalam UPP. Ini bermakna Agensi Kawalan Keselamatan hanya memberi tumpuan keselamatan sempadan terutama sekali penyeludupan manusia, senjata dan dadah.

Konsep ini sama dengan Border Patrol di Amerika Syarikat. Dengan wujudnya entiti sendiri, maka banyak kelemahan yang dihadapi oleh UPP dapat diatasi. Persoalan gaji, taat setia kepada ketua atau tidak hormat ketua dari jabatan lain, keberkesanan menangani penyeludupan bersindiket dapat diatasi dengan baik dan profesional. Agensi khas ini diberi bajet dan kelengkapan yang mencukupi. Mereka juga dilatih supaya mempunyai pengetahuan undang-undang berkaitan, mahir dalam penyiasatan, risikan, ilmu profiling penjenayah dan bahasa tubuh.

Penulis juga pernah mengemukakan cadangan untuk mewajibkan setiap agensi penguat kuasa tidak menempatkan seseorang pegawai atau anggota di satu-satu kawasan melebihi tiga tahun. Mereka yang bertugas di sempadan dan di kawasan sensitif serta berisiko tinggi tidak boleh dibiarkan lama kerana mungkin sindiket berkepentingan akan mempengaruhi atau mengambil kesempatan.

Hidup mewah

Pegawai yang ditempatkan di sempadan hendaklah yang berintegriti. Selain melalui ujian saringan, mereka juga perlu dipantau dari semasa ke semasa. Lihat kepada tanda 'Red Flags' seperti hidup mewah, rapat dengan penyeludup, tidak mahu ditukar, enggan bercuti dan menolak kenaikan pangkat kerana tempat yang diduduki adalah lombong emas.

Malah, penulis difahamkan 'ketirisan' juga berlaku di pintu sempadan lain yang turut membabitkan segelintir anggota agensi penguat kuasa. Untuk mengatasi masalah ini, pegawai yang cekap dan benar-benar berintegriti diperlukan bagi melunaskan amanah negara. Pastikan negara tidak dicerobohi penyeludup kerana sedikit wang sogokan, demi masa depan anak cucu kita.

Akibat perbuatan segelintir pegawai penguat kuasa yang tidak amanah dengan melakukan rasuah dan terbabit di dalam sindiket penyeludupan mencemarkan seluruh nama baik jabatan berkenaan. Ia ibarat kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Gajet moden yang berupa sistem keselamatan terkini patut dipasang dipagar konkrit sebagai alat pengawasan yang berkesan dan sistematik.

Gajet seperti drone, UAV (pesawat tanpa pemandu), kamera litar tertutup (CCTV) berdefinasi tinggi, satelit seperti yang digunakan di sempadan Amerika Mexico adalah sangat efektif. Di laluan masuk yang sah seperti Rantau Panjang, Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam, wajar dilengkapkan mesin pengimbas khas bagi mengesan penyeludupan senjata dan dadah. Mesin ini sangat efektif membantu mengelakkan penyeludupan.

Masyarakat pula harus memberi kerjasama dengan melaporkan semua kegiatan penyeludupan kepada pihak berkuasa. Penyeludup wajar dikenakan tindakan undang-undang yang tegas agar mereka tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan.

-Berita Harian-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi