Budaya BN Beri Perkhidmatan Terbaik, Cemerlang

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sememangnya menjadi budaya Barisan Nasional (BN) dalam memberi perkhidmatan terbaik dan cemerlang kepada rakyat.

Beliau berkata perjuangan BN menjurus kepada kesinambungan perkhidmatan cemerlang secara berpanjangan dalam soal memajukan kawasan luar bandar, termasuk melalui bidang pendidikan.

"Kita memberi peluang pendidikan supaya anak-anak kita maju agar boleh meningkatkan kehidupan keluarga...dan satu hari nanti menjadi profesional yang membawa pembangunan ke kawasan kita," katanya semalam.

Beliau berucap pada majlis 'Pemimpin Bersama Rakyat' di Rumah Panjang Emak Libau, Nanga Antaroh di Sungai Sut, kira-kira 30km dari sini.

Turut hadir, Anggota Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, serta calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, Wilson Nyabong Igang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata suasana politik di Sarawak yang baik dapat menjamin kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) pada 7 Mei ini.

"Suasana politik di sini adalah suasana persaudaraan sesama penduduk berlainan kaum, budaya, agama dan bangsa. Rakyat Sarawak harus bersatu hati untuk pastikan kemenangan pasukan Tok Nan (Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem)," katanya.

Penamaan calon bagi PRN-11 berlangsung semalam.

Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM195,000 untuk membaik pulih Rumah Panjang Emak Libau yang akan memberi manfaat kepada 39 keluarga yang mendiaminya.

"Kalau orang bagi ubi saya harus bagi batas, kalau orang berbudi saya harus balas kepada penduduk rumah panjang ini. Maka adalah munasabah untuk memberi bantuan ini," katanya.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi