Zahid Hamidi Tiba Di Bali Untuk Hadiri Proses Bali

BALI - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini semalam untuk menghadiri Persidangan Peringkat Menteri Keenam Proses Bali mengenai Penyeludupan Manusia, Pemerdagangan Orang dan Jenayah Rentas Sempadan (Proses Bali) di sini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, dan delegasi disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai oleh Timbalan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Roseli Abdul dan para pegawai kanan kerajaan Malaysia.


Setibanya, Ahmad Zahid akan menghadiri mesyuarat pra majlis dengan pegawai kanan Malaysia sebelum menghadiri mesyuarat dua hala dengan Volker Turk, Penolong Pesuruhjaya Tinggi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Timbalan perdana menteri kemudian dijadualkan menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi.

Persidangan Proses Bali bermula hari ini dengan Mesyuarat Pegawai Kanan dan diikuti Mesyuarat peringkat Menteri esok.

Ahmad Zahid akan menyampaikan kenyataan menteri pada persidangan itu dan menerima pakai Mesyuarat Peringkat Menteri Proses Bali pada akhir persidangan.

Proses Bali diasaskan pada 2002 dan telah berjaya meningkatkan kesedaran serantau mengenai kesan buruk penyeludupan manusia, pemerdagangan orang dan jenayah rentas sempadan berkaitan, dan menggubal serta melaksanakan kerjasama secara praktikal sebagai respon.

Lebih 48 negara dan organisasi termasuk dari UNHCR, Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dan Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), dan beberapa negara pemerhati dan agensi antarabangsa menghadiri forum sukarela ini.

Ia merupakan satu-satunya platform serantau di Asia Timur dan Pasifik yang menangani isu berkaitan migrasi dan persidangan peringkat menteri akan memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai cabaran semasa, trend dan respon terhadap pergerakan manusia secara tidak teratur di rantau itu dan menyediakan peluang untuk meningkatkan usaha secara kolektif Proses Bali.

Semasa di Bali, Ahmad Zahid juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Peter Dutton, Menteri Imigresen dan Kawalan Sempadan Australia, dan Bert Koenders, Menteri Luar Belanda.

Perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat ialah kerjasama yang sedia terjalin dengan Malaysia mengenai isu-isu jenayah rentas sempadan dan kemasukan migran secara tidak teratur ke rantau ini.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada