Tangani penyeludupan manusia, Malaysia guna dasar kemanusiaan

Malaysia akan meneruskan komitmen dalam menangani isu penyeludupan dan pemerdagangan manusia di rantau ini walaupun bertindak atas dasar kemanusiaan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, isu itu kerap dibincang di pelbagai platform termasuk pertemuan dalam kalangan pegawai kanan (SOM) negara anggota ASEAN.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, antara kekangan dihadapi ialah sikap beberapa pihak termasuk negara sumber yang kurang menghiraukan masalah terbabit.

"Ketika kita berdepan masalah ratusan pelarian terkandas di Laut Andaman dan Lautan Hindi pertengahan tahun lalu, Malaysia membuat penyelarasan bersama pihak berkuasa Indonesia dan Thailand secara ad hoc.

"Pada dasarnya, Malaysia dan Indonesia mempunyai komitmen bersama dalam menangani isu pelarian tetapi keadaan pada waktu itu berbeza serta memerlukan tindakan pantas.

"Justeru, kita meletakkan aspek kemanusiaan sebagai asas tindakan," katanya kepada media Malaysia di akhir lawatan kerja bagi menghadiri Mesyuarat Proses Bali Mengenai Penyeludupan dan Pemerdagangan Manusia serta Jenayah Rentas Sempadan Berkaitan (Proses Bali) peringkat menteri keenam, pagi ini.

Mesyuarat Proses Bali berakhir semalam.


-Berita Harian-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada