Pembekalan Jumlah Pakaian Seragam Anggota Beruniform Dikekalkan


Pembekalan pakaian seragam bagi anggota beruniform di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang perlu memakainya setiap hari akan dikekalkan pada jumlah sedia ada, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata penyusunan semula pembekalan pakaian seragam berikutan pekeliling terbaru dikeluarkan Perbendaharaan Malaysia akan hanya melibatkan petugas yang tidak perlu memakai uniform setiap hari.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pekeliling bertajuk 'Garis Panduan Langkah-Langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Kerajaan' yang antara lain menyebut pakaian seragam, korporat penjawat awam dikurangkan kepada hanya dua pasang setahun.

"Pekeliling itu tidak akan menjejaskan kesiapsiagaan badan beruniform di bawah kementerian terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).


"Sebagai barisan hadapan keselamatan, keperluan pemakaian pakaian seragam pasukan ini tidak boleh dikompromi dan mereka perlu mempunyai uniform yang mencukupi untuk dipakai setiap hari," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KDN, di sini hari ini.


Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2014, pegawai perkhidmatan awam di bawah agensi yang berkaitan layak dibekalkan dengan tiga pasang pakaian seragam setahun bersama bantuan upah jahit terhad kepada tiga pasang pakaian seragam dalam setiap tahun kalendar.


Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata dedikasi dan kerja keras warga kementerian membuahkan hasil yang membanggakan apabila KDN diberi penarafan lima bintang oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).


Indeks Penarafan Bintang (Indeks SSR) merupakan satu daripada mekanisme untuk menilai dan mengukur prestasi agensi Sektor Awam berdasarkan keputusan yang diperoleh dalam Mesyuarat Panel Merakyatkan Perkhidmatan Awam (MPA) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara.


-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada