Negara sumber perlu bertanggungjawab: Ahmad Zahid

NUSA DUA (BALI): Malaysia menegaskan perlunya pendekatan bersepadu diambil untuk memastikan negara sumber bertanggungjawab terhadap rakyat mereka yang menjadi pelarian ekonomi, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia selaras dengan komitmen negara anggota Proses Bali Mengenai Penyeludupan dan Pemerdagangan Manusia serta Jenayah Rentas Sempadan Berkaitan (Proses Bali) untuk bekerjasama membanteras kegiatan itu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, usaha bersepadu perlu digerakkan dalam mencari penyelesaian praktikal menyekat penjenayah yang mengaut keuntungan berlipat ganda hasil kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

"Pada mata penjenayah, ia adalah perniagaan menguntungkan dan kita perlukan usaha bersepadu untuk menyekat dalang ini merasuah pihak berkuasa.

"Kesediaan semua negara berkongsi maklumat dan pengalaman bagi membanteras penyeludupan serta pemerdagangan manusia berupaya menyediakan pangkalan data bagi mewujudkan strategi bersepadu," katanya kepada media Malaysia di sini, sebentar tadi.

Ahmad Zahid mewakili Malaysia pada mesyuarat Proses Bali peringkat menteri keenam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali (BICC).

Deklarasi Proses Bali dijangka dikeluarkan pada akhir mesyuarat, petang ini.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada