'Selamatkan Malaysia' heret rakyat jadi celaru

Parlimen Malaysia bermesyuarat bagi Penggal Keempat bermula hari ini sekali gus memperlihatkan prinsip Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan didokong utuh pemerintah UMNO-Barisan Nasional (BN) menerusi mandat rakyat dalam proses pilihan raya umum lalu. 

Memorial prinsip demokrasi ini, kerajaan pimpinan sedia ada memerintah dengan jayanya dengan memenuhi keperluan pertahanan bersama, hasrat untuk bebas daripada ancaman luar, kepentingan ekonomi, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, persamaan institusi politik dan masyarakat serta kepemimpinan.

Semua aspek itu bermula dari institusi Parlimen. Suara rakyat disatukan dalam Dewan Rakyat oleh wakil masing-masing untuk diterjemahkan menerusi dasar yang dirancang pihak kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

Jadi, slogan 'Selamatkan Malaysia' yang digembar-gemburkan sejak minggu lalu, menghairankan.

Selamatkan untuk siapa, untuk apa, mengapa dan sebagainya? Amnya konsep selamat membawa erti bebas daripada ancaman.

Dalam disiplin pengajian keselamatan, konsep ini selalu dikaitkan dengan keselamatan negara, iaitu idea yang asalnya dicetuskan oleh Amerika Syarikat selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Pendekatan realisme mempengaruhi wacana keselamatan dalam era Perang Dingin apabila rakyat ditakut-takutkan dengan ancaman yang sengaja diadakan-adakan demi kepentingan sendiri.

Elemen keganasan

Adakah pendekatan sedemikian rupa cuba diterapkan dalam slogan 'Selamatkan Malaysia'? Mencetuskan keadaan yang tidak panik kepada panik yang akhirnya mengheret rakyat dengan pemikiran bercelaru?

Pandangan penulis, ini sudah ada elemen keganasan persepsi yang seolah-olah negara perlu diselamatkan segera dengan desakan dari pintu belakang sedangkan mandat rakyat masih berjalan lancar menerusi parlimen.

Menerusi pelaung 'Selamatkan Malaysia', rakyat semakin menderita akibat keadaan ekonomi tidak stabil sehingga ada keperluan mereformasikan institusi demi proses demokrasi dan pemulihan prinsip pengasingan kuasa.

Terfikir sejenak adakah kerajaan pimpinan sekarang tidak langsung memikirkan soal pembangunan fizikal dan kemanusiaan untuk kesejahteraan rakyat? Apakah perancangan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Rancangan Malaysia dan Program Transformasi Ekonomi hanya omong-omong kosong selama ini?

Kalau ada pihak yang menidakkan soal itu, maka hati dan jiwa mereka sudah buta. Kerajaan UMNO-BN yang memerintah sejak dahulu lagi menjadikan indikator model ekonomi sebagai paparan kemampuan kerajaan menjalankan program pembangunan dalam sesuatu masa.

Prestasi pembangunan itu akan dinilai rakyat atau pengundi dan dijadikan sebagai faktor yang mempengaruhi keputusan untuk menyokong parti politik.

Adakah pihak yang membawa slogan 'Selamatkan Malaysia' tidak sedar akan perkara ini? Teringat penulis kata-kata Profesor Dr Mohd Fuad Mat Jali dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), proses pembangunan dilihat sebagai komponen penting dalam politik nasional atau parti politik yang bertanding.

Dalam pilihan raya, perancangan pembangunan disampaikan kepada pengundi melalui manifesto parti yang mengesyorkan program terbaik daripada pucuk pimpinannya.

Kerja tidak bertamadun

Bagi rakyat, pembangunan yang dapat mengurangkan kemiskinan, pengangguran dan ketidaksamaan yang dijalankan secara berterusan dijadikan modal politik parti untuk terus disokong agar aktiviti pembangunan tidak tergendala.

Ini sudah menjawab slogan 'Selamatkan Malaysia' kerana ia sebenarnya jauh tidak relevan pada masa ini. Mengheret rakyat ke arah pintu belakang dalam menjatuhkan kerajaan apatah lagi Perdana Menteri Malaysia adalah kerja orang tidak bertamadun.

Ada pelajaran tetapi tidak berpendidikan, begitulah analoginya. Yang pastinya, Malaysia sudah lama melaksanakan penambahbaikan selaras dengan kehendak negara bangsa.
Berdasarkan pemahaman ini, keselamatan insan atau rakyat menumpukan aspek kualiti hidup atau mendahulukan insan daripada negara.

Kalau insan atau rakyat didahulukan dari aspek menangani ekonomi, makanan, kesihatan, persekitaran, peribadi dan politik, apakah Malaysia ini masih diperlukan untuk diselamatkan?

Yang penting sekarang sistem demokrasi yang mendasari politik Malaysia bersifat demokrasi permuafakatan. Inilah elemen yang didokong pemerintah UMNO-BN selama ini di bawah gagasan Perikatan dan sekarang, BN.

Perlu diingatkan betapa setiap kali berlaku konflik, krisis, ketidakseimbangan dan asakan di jalanan dan media sosial baharu, maka setiap kali itulah tahap permuafakatan lebih tinggi berlaku dalam UMNO-BN. Penyatuan ialah elemen kelangsungan demokrasi permuafakatan itu.

Penulis ialah Ketua Penyelidik di Pusat Penyelidikan Strategik (PPS), badan pemikir bebas sosio media-politik

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada