Letupan Bom Di Brussels Peringatan Perlunya Banteras Pengganas

Insiden letupan bom di Brussels, Belgium menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia bahawa keganasan tidak akan berakhir selagi tidak berusaha bersungguh-sungguh membanterasnya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata walaupun dalang insiden tersebut masih belum dikenal pasti namun dipercayai adalah angkara pengganas.
 
"Apa yang berlaku mengingatkan kita terhadap kejadian serupa yang menimpa Paris, Jakarta, Turki dan beberapa tempat lain, yang kita percayai adalah angkara pengganas," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Ahmad Zahid turut merakamkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarga mangsa yang terbabit dalam serangan itu.

"Kita sentiasa bersama-sama dengan masyarakat di Belgium dan menyokong sebarang tindakan yang bakal diambil bagi mencari mereka yang bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan, sekaligus menghadapkan mereka ke muka pengadilan," katanya.

Wisma Putra dalam satu kenyataan Selasa berkata kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden letupan bom yang berlaku di Brussels yang telah meragut 28 nyawa.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada