Lebih 17,000 Perkahwinan Lelaki Tempatan Dengan Wanita China Tidak Didaftar Dari 2011-2015

Lebih 17,000 perkahwinan antara lelaki tempatan dengan wanita warga China tidak didaftarkan sepanjang 2011 hingga 2015, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa jumlah itu adalah satu setengah kali ganda lebih tinggi daripada jumlah perkahwinan lelaki tempatan dengan wanita warga China yang didaftarkan sepanjang tempoh sama, iaitu 11,623 pendaftaran.


"Hasil perkawinan yang didaftarkan itu, seramai 9,197 anak dilahirkan sepanjang tempoh itu," katanya Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri semasa menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong.


Beliau berkata masalah utama yang timbul akibat perkahwinan tidak berdaftar ialah anak-anak mereka tidak dapat didaftarkan sebagai warganegara Malaysia.


"Ini menimbulkan pemasalahan. Apabila anak-anak ini dilahirkan, ibunya telah meninggalkan negara ini dan balik ke negara asal, dan bapa atau saudara memohon supaya (anak) ada status kelahiran kerana mereka mahu memasuki persekolahan," katanya.


Beliau berkata sekiranya ada permohonan, Kementerian Dalam Negeri akan melihat kes-kes itu berdasarkan 'kes dengan kes' dan budi bicara serta kemanusiaan untuk mengeluarkan sijil kelahiran kepada anak-anak.


Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata melalui usaha Pasukan Petugas Khas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyelesaikan masalah pendaftaran pengenalan diri di Sarawak tahun lepas, seramai 11,630 rakyat di pedalaman Sarawak berjaya didaftarkan dan diberi sijil pengenalan.


Pasukan khas unit bergerak itu dengan kerjasama berberapa agensi seperti Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan telah turun ke kawasan pedalaman bagi membantu penduduk memohon dan mendapatkan dokumen pengenalan diri.


-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada