Kerajaan Letak Penanda Aras Tinggi Universiti Lahir Graduan Cemerlang

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meletakkan penanda aras yang tinggi kepada universiti-universiti awam bagi melahirkan graduan cemerlang, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan tidak mahu hanya menjadi 'jaguh kampung' dalam soal pendidikan, sebaliknya dicontohi di peringkat global.


"Tentunya matlamat pengajian tinggi bukan hanya bersandarkan akademiknya semata-mata, tetapi dalam masa yang sama pencapaian sahsiah atau akhlak yang baik harus juga diberi keutamaan.

"Seseorang itu mungkin pencapaian akademiknya baik, tetapi harus ada keseimbangan dari segi sahsiahnya, jika tidak, akan berlaku kepincangan kepada produk akhir universiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Watikah Pelantikan dan Penghargaan bagi Program Fakulti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kementerian Pendidikan Tinggi di sini, malam ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Seramai 31 CEO baharu terdiri daripada tokoh-tokoh industri swasta, syarikat berkaitan kerajaan dan pegawai tinggi kerajaan diberikan watikah pelantikan bagi pelaksanaan Program Fakulti CEO Fasa Dua.

Majlis itu juga meraikan sumbangan kepakaran, masa dan tenaga seramai 24 orang CEO lantikan Fasa Satu sepanjang sesi pengajian akademik 2015/2016.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata KPT kini berada di landasan betul dengan melaksanakan langkah-langkah proaktif ke arah menjadikan sistem pendidikan negara antara yang terbaik di dunia.

Katanya langkah dilakukan KPT termasuk Program Fakulti CEO yang pertama di dunia itu, menjadi contoh kepada negara lain.

Antara objektif utama Program Fakulti CEO adalah mempergiatkan penglibatan sektor industri sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan tinggi kebangsaan melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran daripada tokoh-tokoh industri.

Melalui program itu, CEO terlibat akan memberi khidmat nasihat dan kuliah dalam tempoh 20 hingga 30 jam dalam bentuk syarahan, perkongsian ilmu, kajian kes dan ucaptama kepada pelajar, pensyarah dan kakitangan akademik.

Ahmad Zahid berkata sebagai mengiktiraf program itu, beliau bercadang memasukkan Program Fakulti CEO yang pertama di dunia itu serta program Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Bersepadu ke dalam Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada