Geran RM250 Juta Untuk Galakan Pelaburan Dalam Oleokimia, Makanan, Kata Ahmad Zahid

Kerajaan memperuntukkan geran RM250 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam pengeluaran oleokimia dan produk makanan dan kesihatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Geran RM4.5 juta itu juga disediakan untuk pekebun kecil dan syarikat perladangan bagi memperoleh perkakasan dan mesin, katanya.

Ahmad Zahid berkata peruntukan itu selari dengan usaha kerajaan untuk memudahkan lagi pembangunan industri minyak sawit dengan menyediakan geran untuk projek khusus dalam tempoh 2016 hingga 2020.

"Industri itu merupakan antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi Malaysia, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian.

"Kini industri itu menyediakan pekerjaan langsung kepada lebih satu juta orang termasuk 600,000 pekebun kecil," katanya dalam ucaptama pada Persidangan dan Pameran Unjuran Harga Minyak Sawit dan Laurik 2016 (POC 2016) di sini Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ahmad Zahid berkata tahun lepas, Malaysia menghasilkan 19.96 juta tan minyak sawit mentah dari kawasan seluas 5.64 juta hektar, mengeksport 26.2 juta tan produk minyak sawit dan menjana pendapatan eksport bernilai RM63.2 bilion.

Beliau berkata sektor minyak sawit juga menyumbang 8.1 peratus daripada eksport barangan negara.

Dari segi amalan pertaian dan alam sekitar, beliau berkata 25.3 peratus kawasan bertanam di Malaysia disahkan mematuhi pensijilan industri sukarela, Meja Bulat dan Minyak Sawit Lestari.

Beliau berkata Malaysia juga melaksanakan Skim Pensijilan Minyak Sawit Lestari (MSPO) mulai tahun lepas bagi menggalakkan pengeluaran minyak sawit secara mampan.

"MSPO adalah berasaskan kepada pematuhan peraturan dan undang-undang domestik, termasuk pembangunan dan pengurusan penanaman kelapa sawit yang mematuhi amalan terbaik pertanian dan alam sekitar," katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata kerajaan menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, menjalin usaha sama dengan saintis terkemuka di seluruh dunia untuk meluaskan penggunaan minyak sawit dalam pelbagai produk makanan dan memanfaatkan zat pemakanan minyak sawit.

"Untuk tujuan ini, RM30 juta diperuntukkan untuk tempoh 2016 hingga 2020," katanya.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada