TPPA: Kronologi peristiwa

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mengambil masa lima tahun dan 19 pusingan rundingan sebelum ia dimuktamadkan pada 5 Oktober 2015.

Perjanjian itu bertujuan mendapatkan perdagangan yang lebih bebas dengan mengurangkan tarif, meningkatkan akses pasaran dan menetapkan titik persamaan standard buruh dan alam sekitar serta perlindungan harta intelektual.

Dua belas negara yang terbabit iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam membentuk 40 peratus daripada ekonomi dunia.

Berikut adalah kronologi peristiwa yang membawa kepada permeteraian TPPA:

* 2006: Bermula sebagai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Trans-Pasifik dengan empat negara iaitu New Zealand, Singapura, Chile dan Brunei.

* 2008: Pada Mac, Amerika Syarikat menyertai rundingan itu dan, 10 bulan kemudiannya, Australia, Peru dan Vietnam melahirkan hasrat untuk turut menyertainya.

* 2009: Pada Mac, rundingan pertama dijadualkan bagi perjanjian baharu itu yang termasuk empat lagi negara yang menjadikan jumlah kesemuanya lapan. Bagaimanapun, rundingan itu ditangguhkan susulan pelantikan presiden baharu AS, Barack Obama.

* 2010: Pusingan pertama rundingan diadakan di Australia pada Mac di mana pihak yang terlibat bertukar-tukar pandangan dan bersetuju mengumpul maklumat dan merangka draf kertas kerja serta membincangkan penyertaan lebih banyak negara.

Pusingan kedua rundingan diadakan di San Francisco, California, pada Jun tahun yang sama di mana pihak yang terlibat membincangkan kerangka perjanjian dan hubungan antara TPP dengan perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada.

Pada bulan yang sama, pusingan ketiga rundingan berlangsung di Brunei, yang mana Malaysia menyertainya sebagai anggota TPP kesembilan. Pusingan keempat rundingan diadakan di Auckland, New Zealand, dengan tumpuan mewujudkan teks bagi bahagian TPP individu.

* 2011: TPP memulakan pusingan kelima rundingan pada Februari di Santiago, Chile. Antara Mac dan Disember lima lagi pusingan rundingan diadakan masing-masing di Singapura, Vietnam, Chicago, Peru dan Kuala Lumpur.

* 2012: Dallas, Texas, menjadi hos pusingan ke-12 rundingan itu pada Mei. Pada tahun yang sama, pusingan ke-13, ke-14 dan ke-15 berlangsung masing-masing di San Diego, California, Leesburg, Virginia dan Auckland, New Zealand.

Semasa pusingan ke-15, Mexico dan Kanada menyertai rundingan itu.

* 2013: Pusingan ke-18 rundingan TPP diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia. Pada tahun yang sama Jepun menyertai secara rasmi rundingan TPP pada 23 Julai. Pusingan ke-19 yang merupakan pusingan akhir rundingan diadakan di Brunei.

Kemudiannya bagi tempoh dua tahun selepasnya, pemimpin TPP, para menteri serta ketua perunding mengadakan pelbagai mesyuarat untuk memperhalusi dan memuktamadkan perjanjian itu

* 2015: Pada 5 Oktober di Atlanta, AS, menteri-menteri TPP mengumumkan mereka telah memuktamadkan rundingan perjanjian itu. Susulan itu teks penuh perjanjian yang terdiri daripada 30 bahagian dikeluarkan kepada umum.

Pada 18 November, para pemimpin 12 negara memuktamadkan inisiatif perdagangan bebas TPP di Filipina di luar sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik selama dua hari.

Di Malaysia, keputusan kajian analisis kos dan manfaat TPPA yang dijalankan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa dan PricewaterhouseCoopers mengenai kesan TPP dimuat naik di laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 3 Disember.

* 2016: Teks Perjanjian TPP (TPPA) dibentangkan di Parlimen Malaysia pada 26 Jan. Dalam kalangan 12 negara yang terlibat dalam TPPA, hanya Malaysia yang membawakan usul TPPA ke Parlimen bagi mendapatkan kelulusan sebelum ia dimeterai. Selepas perbahasan selama dua hari, kedua-dua Dewan Negara dan Dewan Rakyat meluluskan satu usul membenarkan penyertaan Malaysia dalam TPPA.

Hari ini, bersama 11 lagi negara lain, Malaysia memeterai TPPA di Auckland, New Zealand. Kesemua 12 negara itu diberikan tempoh dua tahun untuk mengesahkan perjanjian tersebut sebelum berkuat kuasa pada 2018.

- BERNAMA -

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi