TPM tak setuju cadangan halal penggunaan ganja

LAWAS: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebentar tadi menjelaskan pendiriannya yang tidak bersetuju dengan cadangan untuk membenarkan penggunaan ganja bagi mengurangkan ketagihan penagih dadah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kajian beberapa pihak sebelum ini mendapati langkah menghalalkan penggunaan ganja gagal mengurangkan kadar penyalahgunaan dadah di negara berkenaan.

Beliau berkata, tindakan itu menambahkan lagi jumlah penagih berulang dan penagih baharu yang membimbangkan. 

"Ada beberapa cadangan untuk memperhalusi penggunaan ganja supaya ia dapat digunakan dengan beberapa peraturan tetapi secara peribadi, saya berasakan bahawa kita tidak boleh mengikut penanda aras digunakan beberapa negara Eropah yang mengizinkan penggunaan ganja.

"Sehubungan itu, walaupun secara rasmi cadangan itu belum ditolak tetapi secara peribadi, saya tidak begitu berkenan dengan cadangan itu," katanya pada sidang media selepas melancarkan sambutan 
Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan di Taman Awam Lawas, di sini, sebentar tadi. 

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya akan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk meneliti perundangan sedia ada dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 berkaitan kesalahan penggunaan ganja.

Katanya, kementeriannya juga akan mendapatkan maklum balas daripada badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan orang ramai berhubung perkara itu.

-Berita Harian-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada