Peserta Tempatan Disaran Terus Terajui Industri Halal

Pihak berkepentingan tempatan dalam industri halal perlu meningkatkan pelaburan dalam bidang baru dan terus berada di barisan hadapan dalam industri halal global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Apa yang diperlukan ialah penyelidikan dan pembangunan yang lebih intensif serta inovasi yang lebih untuk mencari alternatif halal menggunakan derivatif minyak sawit untuk menggantikan bahan-bahan tidak halal.


"Syarikat tempatan perlu menaik taraf kemudahan sedia ada, meningkatkan penyelidikan dan pembangunan, memperoleh teknologi baru dan meningkatkan aktiviti pemasaran," kata beliau pada persidangan Kosmetik dan Penjagaan Diri Halal di sini Selasa.

Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lee Chee Leong dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal Datuk Seri Jamil Bidin.

Ahmad Zahid turut mengumumkan pelantikan Pengerusi pertama Majlis Halal Malaysia, yang ditubuhkan untuk menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi Pengurusan dan Pembangunan Industri Halal.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pasaran halal global bernilai US$2.3 trilion setahun, bukan sahaja untuk 1.8 bilion orang Islam di seluruh dunia tetapi juga pasaran bukan Islam.

"Eksport produk halal semakin meningkat, mencatatkan RM42 bilion pada 2015 daripada RM38 bilion pada 2014.

China, Singapura, Amerika Syarikat, Indonesia dan Jepun adalah pasaran utama bagi produk halal Malaysia.

"Daripada jumlah eksport itu, kosmetik dan produk penjagaan diri halal menyumbang RM2.4 bilion dan dieksport ke Emiriah Arab Bersatu, Turki, Singapura dan Filipina," katanya.

- BERNAMA -

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi