Pelan Transformasi PBT diluluskan

PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan Ke-70 meluluskan Pelan Transformasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dibangunkan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan PBT serta mengambil kira kehendak rakyat.

Pelaksanaan pelan berkenaan dipersetujui semua wakil kerajaan negeri dalam mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini, semalam.


Pelan transformasi itu antara lain bertujuan membantu kerajaan mendengar suara rakyat dengan lebih telus terhadap perkhidmatan disediakan PBT, sekali gus mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata beberapa program berimpak tinggi akan dilaksanakan menerusi pelan transformasi itu, termasuk penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan PBT.

"Kita akan meminta PBT mengadakan mesyuarat `Townhall' dengan lebih kerap supaya rakyat dapat terbabit serta berkongsi maklumat dengan PBT.

"PBT juga boleh gunakan ini sebagai landasan untuk memaklumkan masalah dan cabaran dihadapi terutama kekangan kewangan atau kakitangan yang menyebabkan perkhidmatan terganggu.

"Jika kedua-dua pihak saling memahami, rakyat akan mendapat gambaran lebih jelas, sekali gus mewujudkan keyakinan baharu rakyat terhadap PBT," katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan, sebentar tadi.

Abdul Rahman berkata, menerusi pelan transformasi sama, pihaknya akan menubuhkan Institut KPKT di Bukit Tinggi, Pahang sebagai pusat latihan kecemerlangan bagi memperkasa PBT.

-Berita Harian-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi