Melampau sunting gambar PM, TPM jadi berbadan anjing

KUALA LUMPUR: Tindakan sesetengah netizen menyunting gambar muka pemimpin negara dan berbadan haiwan seperti anjing atau babi dilihat satu penghinaan dan hasutan yang melampaui batas.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, ia sekali gus menjadikan pengguna media sosial yang bertindak berkongsi gambar itu kepada pengikutnya sehingga menjadi viral dengan apa juga niat sebagai tindakan yang bersifat kebudak-budakan.


"Seharusnya kita maklumkan sahaja kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar mengambil tindakan tegas kepada pemilik akaun berkenaan.


"Ia akan menjadi pengajaran kepada orang awam supaya bertindak dengan lebih matang dalam meluahkan ketidakpuasan hati masing-masing. Ada banyak lagi cara lain yang boleh digunakan dengan lebih berhemah," katanya kepada Astro AWANI di sini semalam.

Dr Najmil mengulas sikap sesetengah netizen yang menyunting gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa menteri lain yang dikesan di laman sosial.

Golongan itu menyunting wajah pemimpin negara berkenaan dengan badan haiwan termasuk babi dan anjing beserta kapsyen berbentuk penghinaan.

Dalam pada itu tegas Dr Najmil, semua bahagian UMNO disaran untuk membuat laporan polis dan tidak melihat isu itu sebagai perkara ringan yang berbentuk jenaka semata-mata.

"Apabila nampak sahaja gambar berkenaan, tolong terus buat laporan polis, biar mereka ambil tindakan terhadap kebiadaban itu. Biar kumpulan ini menanggung hukuman akibat perbuatan mereka sendiri.

"Kepada masyarakat pula, mereka harus menggunakan media sosial dengan bijak dan tidak menjadikan tulisan atau artikel mereka menjadi punca huru-hara dan menimbulkan kemarahan orang ramai terutamanya umat Islam," jelasnya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim memberi amaran kepada individu yang menyebar atau mengaibkan gambar pemimpin negara bakal berdepan dengan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, akta berkenaan melarang pengguna media sosial menyalahgunakan kemudahan untuk tujuan memburukkan individu tertentu.

Ia turut mendapat sokongan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyifatkan sikap individu yang menyebar atau mengaibkan gambar pemimpin negara diibarat meludah ke langit dan terenjis ke muka sendiri.

Tegasnya, tindakan individu berkenaan juga sekali gus memburukkan imej negara di mata dunia.


-Astro Awani-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada