Hina TPM: Persatuan Kepolisan Komuniti Sarawak Sibu Buat Laporan Polis

Persatuan Kepolisan Komuniti Sarawak (PKKS) Unit Sibu membuat laporan polis hari ini berhubung tindakan seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa menghina Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi laman sosial itu.

Ketua Unit PKKS Sibu Thomas Ling Kui Eng mendakwa tindakan individu itu berniat jahat dan mempunyai agenda politik untuk menjatuhkan Ahmad Zahid dan kerajaan.


"PKKS Unit Sibu membantah sekeras-kerasnya penghinaan dan kebiadapan yang dilakukan terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya yang turut diiiringi sembilan anggota persatuan itu di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi mengesahkan menerima laporan PKKS.

Pada Selasa, akaun Facebook itu yang menggunakan nama Doris Jones telah memuat naik status yang seolah-olah menyamakan Ahmad Zahid sebagai anjing.

Di KUALA LUMPUR, Kelab Naib Ketua UMNO Bahagian 1Malaysia meminta polis menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan segera terhadap individu yang didakwa menghina Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Presidennya Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus berkata pihaknya juga meminta pihak berkuasa menyemak status kerakyatan pemilik akaun Facebook berkenaan.

"Pihak berkuasa semak kerakyatan Doris Jones ini sama ada dia masih berada di dalam negara atau di luar negara. Lucut kerakyatannya supaya menjadi satu pengajaran kepada mereka yang kurang ajar," katanya.

Beliau yang diiringi 25 anggotanya terdiri daripada ketua bahagian negeri berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada