FMM Digesa Keluar Perangkaan Jumlah Pekerja Asing Diperlukan

Anggota Dewan Negara Senator Tan Sri Mohd Ali Rustam menggesa Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mengeluarkan perangkaan sebenar jumlah pekerja asing yang diperlukan dalam sektor tertentu untuk menampung kekurangan tenaga kerja di negara ini.

Beliau berkata inisiatif tersebut perlu dilakukan segera demi kebaikan semua pihak dan tidak hanya menuding jari antara satu sama lain.

"Tidak boleh menuduh antara satu sama lain sebaliknya perlu mencari kata sepakat bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dalam empat sektor utama di negara ini iaitu perkhidmatan, perladangan, pembinaan dan Industri," katanya kepada Bernama menerusi satu kenyataan di sini, Isnin.

Beliau berkata cadangan kerajaan untuk membawa masuk 1.5 juta warga Bangladesh ke negara ini secara berperingkat amat dialu-alukan bagi menampung kekurangan pekerja dalam empat sektor berkenaan.

Mohd Ali berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa kerajaan merancang untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri bersikap terbuka dalam isu berkenaan dan rakyat diseru menyokong usaha kerajaan untuk terus memaju pembangunan negara dalam sektor tersebut.
Mengulas lanjut, Mohd Ali yang juga Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam, mengambil contoh Singapura dengan populasi lima juta penduduk mempunyai kira-kira 1.5 juta warga asing untuk membangunkan negara mereka.

"Jadi Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya sembilan juta tenaga asing berdasarkan jumlah rakyat iaitu 30 juta untuk membantu membangunkan negara," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata isu kemasukan warga Bangladesh di negara ini perlu dipantau secara ketat oleh pihak berkuasa bagi mengelak sebarang isu sosial atau jenayah.

- BERNAMA -

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada