Zahid Pengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Tangani Kos Sara Hidup

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa tertinggi bagi menangani kos sara hidup rakyat di sini.
Mesyuarat tiga jam itu bertujuan memastikan usaha berterusan ke arah menangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat secara bersepadu bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO).
Jawatankuasa itu yang turut dianggotai enam menteri dan ketua setiausaha kementerian berkaitan, merupakan kesinambungan kepada Jawantakuasa Khas Kabinet Kos Sara Hidup Rakyat, yang turut dipengerusikan Ahmad Zahid.
Menteri terlibat dan turut hadir dalam mesyuarat hari ini ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Dua lagi ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Sementara itu, Hamzah dalam sidang media memaklumkan mesyuarat berkenaan antara lain membincangkan usaha untuk mendidik pengguna seperti memahami kepentingan Indeks Harga Pengguna (CPI) dan bagaimana faktor ekonomi serta harga minyak mempengaruhi kenaikan harga barang.
"Untuk itu, perlu ada kaedah komunikasi paling baik dilakukan secara holistik untuk mengelak salah faham atau putar belit kenaikan harga kos barang. Antara lain, kita membincangkan keperluan sama ada ilmu kepenggunaan diajar pada peringkat sekolah," katanya.
Hamzah berkata penambahbaikan kad siswa turut dibincangkan dalam mesyuarat agar ia dapat diterima pakai di semua tempat di seluruh negara.
"Kami bincang secara umum langkah-langkah yang perlu diambil dan maklumat terperinci akan dibentang dan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai kos sara hidup rakyat akan datang," katanya.
Beliau berkata mesyuarat jawatan tertinggi itu akan diadakan sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada