TPM Lawat Baraj Sungai Sarawak


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pagi ini melawat baraj atau bendungan Sungai Sarawak di sini yang merupakan sebahagian daripada Skim Pengawalan Sungai Sarawak (SSRS).

Beliau yang diiringi Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang tiba di baraj yang merentangi Sungai Sarawak di Sejingkat itu kira-kira 9.40 pagi.



Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Kontroller Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS), William Jinep.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kemudiannya diberi penerangan mengenai fungsi baraj dalam menebat atau mengurangkan banjir di Kuching.

Selepas kira-kira 20 minit meninjau keadaan di baraj itu, Timbalan Perdana Menteri kemudiannya beredar ke Wisma Bapa Malaysia, bangunan pentadbiran kerajaan negeri, bagi mendengar taklimat bencana banjir.

Baraj yang turut mengandungi kekunci "shiplock", sebuah jejambat dan dua tambak, satu merentangi Sungai Santubong di Bako dan satu lagi di Sungai Sarawak di Pending adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan merupakan sebahagian daripada SSRS.

Projek SSRS yang menelan kos RM150 juta itu merupakan ilham bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, dan dilaksanakan pada Mei 1995 dan siap pada Ogos 1998.

Reka bentuk baraj dibuat berdasarkan keadaan banjir yang berlaku pada 1963 dengan tambahan maklumat pakar-pakar dari Britain dan Denmark.

Struktur itu telah menunjukkan keberkesanannya dalam menebat atau mengurangkan banjir di Kuching.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada