RELA Sarawak terima RM8 juta untuk seragam.


Sambutan Hari RELA Ke-44 hari ini cukup bermakna bagi lebih 320,000 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sarawak apabila menerima peruntukan RM8 juta daripada kerajaan untuk membeli pakaian seragam lengkap.

Pengumuman peruntukan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, di hadapan lebih 10,000 anggota RELA di Dataran Sibu, sebentar tadi.

Terdahulu, Adenan mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk anggota RELA Sarawak bagi membeli pakaian seragam lengkap, diikuti pengumuman oleh Ahmad Zahid.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tahun lalu, Kerajaan Persekutuan dan negeri masing-masing menyumbangkan RM2 juta dan tahun ini menambah RM4 juta.

"Ketika ini, kita ada RM12 juta tetapi jumlah itu tidak cukup untuk membeli pakaian seragam lebih 320,000 anggota RELA di negeri ini.

"Kita memerlukan kira-kira RM20 juta. Jika Ketua Menteri sedia menambah RM4 juta, saya akan bagi RM4 juta," katanya.

Pada sambutan Hari RELA itu, isteri Ketua Menteri, Puan Sri Jamilah Anu, dianugerahkan pangkat Timbalan Pesuruhjaya RELA (Kehormat).

Turut dianugerahkan pangkat yang sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada