RDC3 Mula Beroperasi Mei Ini

Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3) yang dihoskan Malaysia akan mula beroperasi 1 Mei ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kerajaan Malaysia telah meluluskan peruntukan awal RM200 juta bagi tujuan berkenaan.

"Kita akan guna templat yang ada di Amerika Syarikat dan Emiriyah Arab Bersatu, dan kita akan wujudkan di Malaysia," katanya dalam sidang media selepas menutup Persidangan Antarabangsa Deradikalisasi dan Memerangi Ekstremisme Keganasan 2016 (IDC) di sini, hari ini.

Malaysia sebelum ini, dipilih Amerika, menjadi tuan rumah pusat digital serantau untuk memerangi golongan pelampau dan mengiktiraf komitmen negara dalam menangani keganasan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sekurang-kurangnya tiga agensi berbeza akan mengendali pusat berkenaan.

Sebelum ini, Penolong Setiausaha Kanan Bahagian, Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Kementerian Dalam Negeri, Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata proses mewujudkan pusat itu memasuki fasa akhir sebelum beroperasi sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Dalam perkembangan lain, mengenai program rehabilitasi Malaysia yang akan diguna pakai negara lain termasuk Amerika, Ahmad Zahid berkata program itu bertujuan untuk memulihkan kumpulan ekstremis.

"Ia dibuat dan diubah suai mengikut perubahan masa dan situasi. Ia dilaksanakan sejak ancaman Komunis pada 1948 dan ia diubah suai juga pada waktu Al-Maunah, Jemaah Islamiyah dan Darul Islamiyah," katanya.

Ahmad Zahid berkata program rehabilitasi itu telah diterjemah ke dalam bahasa Arab, Perancis dan Inggeris dan dibukukan serta diedarkan kepada peserta IDC 2016.

Beliau berkata ia terpulang kepada negara lain untuk mengguna pakai program rehabilitasi itu atau mengubah suai prosedur operasi standard mengikut kesesuaian negara mereka.

IDC 2016 yang berakhir hari ini menyaksikan penyertaan kalangan menteri daripada negara anggota ASEAN dan sembilan Rakan Kongsi Strategik Malaysia iaitu Australia, Perancis, Itali,Jepun, China, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapan penutupnya pada persidangan antarabangsa dua hari itu berkata, adalah penting bagi negara-negara untuk mempunyai strategi lebih berkesan dan meletakkan lebih banyak sumber untuk memerangi naratif radikal.

"Meningkatkan bantuan kemanusiaan, mencegah penyebaran keganasan melampau, termasuk namun tidak terhad kepada platform digital dan internet," katanya.

Beliau berkata terdapat keperluan bagi masyarakat global untuk bersama-sama berkongsi kepakaran dan risikan, dan juga, memupuk kerjasama serantau lebih rapat dalam menentang segala bentuk radikalisme.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada