Pendekatan Jangka Panjang Sarawak Tangani Banjir Terbaik Dalam Negara

Pendekatan jangka panjang yang diguna pakai oleh kerajaan negeri Sarawak dalam menangani masalah banjir adalah yang terbaik dalam negara dan wajar dicontohi negeri lain, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sebagai contoh, katanya, pembinaan empangan serta bendungan rendah yang dapat mengawal paras air di sungai dan disesuaikan dengan keperluan semasa, di samping keberkesanan gerakan bersepadu oleh pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) yang diterajui Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu.
Menurutnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim akan mengemukakan pengalaman di Sarawak itu dalam kertas memorandum untuk dibincangkan oleh jemaah menteri.
Beliau berkata perbincangan akan turut menyentuh saranan mengenai kerjasama kerajaan negeri yang sering dilanda banjir seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan, dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bagi membina bendungan rendah sebagai usaha jangka panjang bagi mengatasi banjir.
"Insya-Allah kita akan kemukakan supaya nanti peruntukan khas dapat diberikan walaupun secara berperingkat," katanya dalam persidangan media selepas mendengar taklimat mengenai banjir di Sarawak di Bilik Gerakan Negeri di sini hari ini.
Turut hadir dalam majlis taklimat itu ialah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, Jabu, Shahidan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, beberapa menteri kabinet negeri serta ketua agensi dan jabatan yang berkaitan banjir di Sarawak.
Zahid turut memuji gerak kerja Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT) di bawah kelolaan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di Sarawak yang akan digunakan sebagai 'pencontoh nasional' dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Bagi mengiktiraf keberkesanan JPBN Sarawak, Ahmad Zahid mengumumkan keputusan untuk menganugerahkan 'Gold Star Award' kepada jawatankuasa itu, yang akan disampaikan beliau sendiri kepada kerajaan negeri tidak lama lagi.
Sementara itu merujuk kepada bantuan tunai kepada mangsa banjir, timbalan perdana menteri berkata berdasarkan pencontoh Kemaman, sebahagian daripada bantuan tunai kepada mangsa akan digunakan untuk membeli insurans bagi membolehkan mangsa mendapat manfaat lebih besar jika mereka sekali lagi berhadapan bencana banjir.
Beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM1.1 juta khusus bagi melaksanakan projek pembinaan tembok penghadang tanah runtuh di Rh Jonathan Philip di Bintulu, di samping pembelian bot berharga RM650,000 untuk digunakan dalam melaksanakan operasi pengurusan bencana banjir.
Menjawab satu soalan, Ahmad Zahid berkata berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, sekiranya berlaku gelombang kedua dan ketiga banjir di Sarawak, ia dijangka tidak akan membawa risiko tinggi kepada negeri.
Katanya di Sarawak ketika ini terdapat 15,000 pegawai dan anggota khusus untuk membantu dalam melaksanakan operasi bantuan sekiranya berlaku banjir, dan jumlah itu tidak termasuk sukarelawan atau pertubuhan bukan kerajaan.
Adenan dalam persidangan media yang sama mengucapkan terima kasih dengan kehadiran Ahmad Zahid di Sarawak, yang menurutnya mencerminkan keprihatinan Timbalan Perdana Menteri terhadap kebajikan rakyat.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada