Menangani Perbuatan Ekstremisme, Khususnya Pengebom Bunuh Diri, Adalah Penting - Ahmad Zahid

Kerjasama semua negara dan perkongsian maklumat yang diperlukan pihak berkuasa keselamatan, dapat mencegah lebih awal sebarang bentuk serangan pengganas, terutamanya pengebom bunuh diri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengebom bunuh diri semakin menjadi ancaman besar kerana mereka boleh menyebabkan kerosakan serius serta menyamar sebagai sesiapa sahaja termasuk pelancong, pekerja pejabat, orang awam, pekerja kilang, pelajar dan pendakwah.

"Bahan yang digunakan mereka untuk membuat bom, boleh diperoleh dari persekitaran, tempat mereka merancang untuk menyerang.

"Manual untuk membuat bahan letupan yang boleh membawa maut juga boleh didapati secara dalam talian," katanya pada majlis pelancaran Persidangan Antarabangsa Deradikalisasi dan Memerangi Ekstremisme Keganasan 2016, selama dua hari di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan persidangan berkenaan.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, pertukaran idea dan pengalaman adalah penting dan berharap kerjasama serta perkongsian bersama boleh diwujudkan dalam persidangan ini serta untuk tahun-tahun seterusnya.

Beliau berkata, keganasan dan ekstremisme keganasan memerlukan tindakan segera baharu serta pendekatan baharu lebih komprehensif memandangkan perubahan yang sentiasa berlaku dalam aktiviti keganasan dan radikal.

Katanya, Malaysia telah mengambil pelbagai langkah dalam menangani ancaman berkenaan, termasuk memperkukuhkan perundangan dan mempergiatkan operasi penguatkuasaan, risikan serta pasukan keselamatan.

"Selain itu, kami juga memperluaskan kerjasama antarabangsa. Kini tiba masanya kita meningkatkan kerjasama dan keberkesanan dalam program deradikalisasi dan pemulihan," katanya.

Beliau berkata, kaedah pemulihan pengganas juga perlu sentiasa dikaji dan diperbaiki.

IDC 2016, menyaksikan penyertaan menteri dari negara ASEAN dan sembilan rakan strategik Malaysia iaitu Australia, Perancis, Itali, Jepun, China, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada