Ahmad Zahid Mohon Masjid Terapung Dinamakan Bersempena Allahyarham Mertuanya

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memohon untuk menamakan sebuah masjid terapung yang sedang diusahakan keluarganya untuk dibina di Masjid Tanah di sini sebagai 'Masjid Terapung Salmah Khamis' bersempena nama Allahyarham ibu dan bapa mertuanya.
Permohonan itu disuarakan oleh beliau kepada jawatankuasa masjid itu dan mengambil nama ibu mertuanya, Allahyarhamah Salmah Yahya dan bapa mertuanya Allahyarham Khamis Dalip.
"Pada bulan ini kita akan saksikan masjid terapung dibina. Ketua Menteri (Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron) dan yang lain ada tanya apa nama masjid ini, saya tak pernah bincang dan sebut kepada isteri saya (Datin Seri Hamidah Khamis).
"Saya minta jawatankuasa masjid ini untuk menamakan Masjid Terapung Salmah Khamis," katanya dengan nada sebak, ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Program Huffaz Aqso Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab 2015 di Masjid Tanah di sini hari ini.
Pada majlis itu seramai 76 huffaz diberi sijil dan anugerah setelah berjaya menyelesaikan program hafazan al-Quran dalam tempoh tiga bulan.
Ahmad Zahid berkata masjid yang terletak berhampiran Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab itu dijangka siap dalam tempoh 30 bulan dari sekarang.
Majlis pecah tanah masjid itu telah dilakukannya sendiri pada 25 Jun tahun lepas.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam serta pihak lain yang banyak membantu keluarganya dalam usaha membina masjid tersebut.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada