Turun Padang Tangani Masalah Rakyat, Soal Kemiskinan

Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) diminta turun padang untuk terus menangani masalah yang membelenggu rakyat termasuk isu kemiskinan dalam kalangan masyarakat.
Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka perlu membantu pelaksanaan program kerajaan yang memberi tumpuan kepada golongan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah (B40) dan rakyat berpendapatan sederhana (M40).
"Kita perlu ketepikan soal agama, bahasa dan budaya apabila kita mahu atasi soal kemiskinan. Kemiskinan harus menjadi agenda kita sebagai parti-parti komponen BN.
"Kita harus bersama kepimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu beliau (melaksanakannya)," kata Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk Malaysia (myPPP) ke-62 di sini hari ini.
Naib Presiden UMNO itu berkata langkah membantu golongan berkenaan juga seiring dengan agenda Najib untuk melakukan transformasi dalam bidang ekonomi.
Ahmad Zahid berkata semua parti komponen BN harus menunjukkan kebertanggungjawaban dalam membantu rakyat yang diharap menghargai apa yang dilakukan dan seterusnya memberi respons yang baik kepada kerajaan.
Dalam pada itu, beliau berkata kegembiraan rakyat dengan segala bentuk bantuan fizikal yang dihulurkan kerajaan seperti sekolah dan wang ringgit perlu diseimbangi dengan apa yang disifatkannya sebagai "spiritual happiness" iaitu kegembiraan dalaman di jiwa mereka.
"Yang penting bukan hanya peruntukan, yang penting bukan hanya wang ringgit. Yang penting ialah bagaimana 'spiritual happiness' disuntik oleh kepimpinan dan parti komponen BN," katanya.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa kegembiraan sebenar itu akan menjurus kepada sebuah masyarakat yang saling menghormati dan sekali gus menghindari masalah termasuk perkauman dan jenayah.
Pada sidang media kemudian, beliau berharap penjenamaan semula myPPP yang sebelum ini dikenali sebagai PPP akan diterjemah kepada sumbangan besar parti itu kepada BN secara keseluruhannya pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam ucapannya, Presiden myPPP Tan Sri M. Kayveas berkata parti pimpinannya itu akan melaksanakan apa yang dipanggil "365-day challenge" (cabaran 365 hari)merangkumi cabaran melakukan satu program setiap hari untuk mendekatkan parti itu dengan masyarakat, terutama golongan belia.
Katanya, ini termasuk inisiatif 'myInsurance', 'myWill', 'myHelpingHands', 'myEnglish', 'mySafeHome' dan 'myEnvironment' melibatkan semua sayap parti.
"Melalui myHelpingHands misalnya, pergerakan Wanita akan membantu mendapatkan penempatan sementara dan makanan bagi wanita dan kanak-kanak yang dalam kesempitan," katanya.
Kayveas berkata penjenamaan semula parti mencerminkan dengan jelas usaha myPPP dalam menghadapi cabaran dan meletakkannya pada kedudukan mantap untuk menghadapi semua kemungkinan.
"Selepas 62 tahun, myPPP menyahut cabaran untuk melakukan penjenamaan semula. Langkah ini merupakan perubahan strategi untuk membawa pembaharuan kepada parti selaras dengan perkembangan dan situasi semasa," katanya.

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada