Terlalu Awal Tafsir Pertemuan Najib-Abdul Hadi Ke Arah Tahaluf Siyasi - Ahmad Zahid

Masih terlalu awal mentafsirkan pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke arah tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara UMNO dan PAS.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagaimanapun berkata pertemuan itu sesuatu dialu-alukan sebagai langkah pertama bagi menyatukan umat Islam di negara ini, dalam membina imej agama Islam yang baik.


"Jangan tafsirkan dengan pelbagai tafsiran mengenai pertemuan berkenaan. Soal mengadakan tahaluf siyasi itu terlalu awal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Pecah Tanah Masjid Kampung Keluru Jaya, di Lambir Jumaat.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pertemuan antara Najib dan Abdul Hadi pada Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di Kuala Lumpur semalam, adalah langkah yang baik.

"Kita sokong langkah Perdana Menteri menghulurkan tangan kepada sesiapa sahaja yang mahu berbaik-baik dan menegakkan Islam dengan tidak mengenepikan agama lain.

"Kita hendaklah memberi gambaran baik mengenai Islam dan harus terjemah makna Islam sebenar agar yang bukan Islam faham dan hormati kita," katanya.

Perdana menteri yang juga presiden UMNO dan Abdul Hadi saling menyapa serta bersalam-salaman lalu kemudiannya menyertai alumni tersohor lain di atas pentas selepas Najib merasmikan multaqa berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata kerajaan tidak mahu agama Islam dikaitkan dengan kegiatan pengganas.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi