PM Sangkal Dakwaan Negara Jadi Miskin, Rakyat Jadi Pengemis

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyangkal dakwaan kononnya negara menjadi miskin dan rakyat menjadi pengemis di bawah pemerintahannya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata sebagai bukti, Najib memberi contoh sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2009, pelbagai kemajuan dapat dilihat, antaranya peningkatan pelaburan langsung asing ke dalam negara serta kedudukan daya saing negara berada antara 20 tertinggi dunia.
Najib yang juga Presiden UMNO memberi penjelasan tersebut pada majlis Taklimat Presiden kepada perwakilan dari 191 Bahagian UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini Selasa malam.
Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO berkata Najib menegaskan betapa pentingnya para perwakilan diberi penjelasan mengenai fakta-fakta yang diselewengkan oleh sesetengah pihak mengenai cabaran ekonomi negara.
"Tentang cabaran ekonomi, beliau (Najib) menyatakan beliau perlu memperbetulkan fakta-fakta yang diselewengkan oleh serangan yang pelbagai terutamanya apabila seorang tokoh mengatakan negara ini menjadi negara miskin dan rakyat menjadi pengemis," kata Ahmad Zahid kepada pemberita selepas majlis taklimat itu.
Menerusi Laporan Daya Saing Global 2015-2016 yang dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Switzerland tahun ini, Malaysia menduduki tempat ke-18 naik dua anak tangga berbanding ke-20 tahun lepas dalam kalangan 144 negara.
"Penjelasan-penjelasan ini, beliau (Najib) memberikan fakta supaya perwakilan-perwakilan dapat penjelasan daripada beliau," kata Ahmad Zahid.
Selain itu, Naib Presiden UMNO itu berkata Najib turut menjelaskan nilai bidaan Tenaga Nasional Bhd untuk membeli aset Edra Global Energy Bhd adalah RM2.3 bilion lebih rendah daripada pemenang bidaan, China General Nuclear Power Group (CGN) yang membentuk konsortium dengan syarikat Qatar, Nebras Power.
"Pihak CGN membayar dengan harga RM17 bilion untuk pembelian Edra dan terpaksa menolak tawaran daripada TNB kerana tawaran TNB RM2.3 bilion lebih rendah daripada tawaran CGN.
"(Jika) TNB diberikan peluang, maka timbul permasalahan seolah-olah kerajaan menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kerana tender ini adalah tender antarabangsa yang terbuka, jadi pembida tertinggi memenangi tawaran tender itu," kata Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid berkata penjelasan Najib berhubung pelupusan aset Edra Energy adalah sebagai contoh bahawa pelan rasionalisasi 1MDB berjalan dengan baik.
Mengenai isu dakwaan RM2.6 bilion dimasukkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Ahmad Zahid berkata Najib mengulangi penjelasannya bahawa wang itu bukan diambil daripada 1MDB ataupun dana awam, sebaliknya menerusi sumbangan penderma. -B

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada