Penuntut Afrika Kahwini Wanita Tempatan Untuk Dapat Kerakyatan, Lesen Premis - Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan adanya wanita Malaysia yang sanggup menjadi isteri kepada penuntut Afrika bagi melayakkan lelaki asing itu mendapatkan taraf kerakyatan dan memiliki lesen premis di negara ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata lesen itu adalah hak warga Malaysia tetapi digunakan penuntut Afrika yang mengahwini wanita tempatan.


Justeru itu, beliau meminta kerajaan negeri khususnya pihak berkuasa tempatan memberi kerjasama untuk mengenal pasti mereka yang menyalahgunakan lesen premis berkenaan.

Semasa mengulas kebanjiran rakyat Afrika di negara ini dan cadangan memperketat syarat kemasukan pelajar negara itu ke Malaysia, beliau berkata ada penuntut Afrika yang menyalahgunakan visa pelajar untuk melakukan aktiviti jenayah di negara ini.

"Mereka (mendaftar) masuk di pusat-pusat bahasa di negara ini, tetapi tidak belajar...mereka menjadikan tempat kediaman mereka sebagai makmal memproses dadah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Deklarasi Prioriti 2016 Ekonomi Keutamaan Kita anjuran Yayasan Damai Sejahtera Malaysia (YDSM) di sini, Isnin.

Selain itu, katanya Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) turut menangkap beberapa warga Afrika di negara ini.

Namun, Ahmad Zahid berkata adalah tidak adil menuduh semua penuntut Afrika di negara ini sebagai penjenayah kerana hanya segelintir daripada mereka yang terbabit dalam kegiatan jenayah.

Mengenai penubuhan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3) di negara ini, Ahmad Zahid berkata peralatan bagi pusat berkenaan sedang diperoleh oleh negara ini.

"Kita juga telah mempelajari apa yang dilakukan di (pusat mesej) Dubai dan pegawai-pegawai kanan kita yang terlibat sedang menjalani program latihan berkenaan,"katanya.

Malaysia dan Amerika Syarikat bersetuju menubuhkan RDC3 di negara ini bagi memerangi penyebaran ideologi dan propaganda ekstremisme oleh kumpulan militan menerusi Internet.

Ahmad Zahid juga berkata sebanyak RM38 bilion telah dihantar ke luar Negara oleh pekerja-pekerja asing di negara ini setakat Oktober lepas.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan permintaan terhadap tenaga buruh asing dibuat oleh majikan terutamanya dari sektor industri perkhidmatan, perabot dan pembinaan, dan bukannya kerajaan.

"Kerajaan tidak boleh bergantung kepada pekerja asing untuk bangunkan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata kerajaan turut mencadangkan kepada majikan satu program jangka panjang yang melibatkan pekerja tempatan dalam sektor 3D - kotor, berbahaya dan sukar.

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada