Muhyiddin Akan Dikenakan Tindakan Jika Melampaui Batasan

UMNO akan mengambil tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin jika Timbalan Presiden parti itu didapati melakukan perkara yang melampaui batasan.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jika didapati benar tindakan melampaui batasan telah dilakukan, maka terserah kepada kebijaksanaan kepimpinan untuk tentukan tindakan yang akan diambil.
"Kalau kita masih mahu mendukung (menyokong) sesiapa yang melakukan tindakan melampaui batasan supaya dia dikekalkan, maka tunggulah ketikanya akan berlaku kebobrokan (keburukan) dalam kepimpinan, dan ini akan menyebabkan kesukaran dalam mana-mana organisasi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama editor kanan Bernama diketuai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Mokhtar Hussain bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang berlangsung mulai hari ini sehingga Sabtu.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata bagi Muhyiddin dan penyokongnya, tindakan melakukan provokasi terhadap kepimpinan parti mungkin tidak dianggap sebagai melampaui batasan, "tetapi tentunya interpretasi ini pelbagai."
Ditanya mengapa sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap Muhyiddin yang dilihat telah melampaui batasan, Ahmad Zahid berkata itulah kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat keputusan bukan sekadar untuk penyelesaian jangka pendek.
"Ini dapat diselesaikan dengan memperlihatkan terdapat ketelusan dan terdapat beberapa pengurusan isu yang tidak ada agenda yang disembunyikan. Rakyat semakin celik dan mereka mahu tahu kedudukan perkara sebenarnya," katanya.
Mengenai Majlis Tertinggi UMNO yang dikatakan sukar untuk mengambil tindakan terhadap Muhyiddin, dengan usul perlu dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO untuk mengambil tindakan itu, Ahmad Zahid berkata:
"Usul harus diberikan notis tapi kita tidak dapat menghalang jika ada di kalangan jurucakap yang menyarankan hal yang sedemikian. Tentunya sebagai sebuah parti yang dinamik, suara akar umbi akan didengar.
"Tindakan yang akan diambil (terhadap Muhyiddin), jangan dipersalahkan kepada kepimpinan jika ia berlaku," katanya.

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada