Malaysia Mahu Jadi Hab ASEAN Bagi Produk Itali

Malaysia mahu menjadi hab mempromosikan produk Itali bagi pasaran ASEAN dan berhasrat meningkatkan perniagaan dua halanya dengan negara tersebut.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata telah menjadi hasrat Malaysia untuk menjalin kerjasama lebih kukuh dengan negara itu menerusi perjanjian perniagaan.
Ini, katanya, akan menjadi situasi menang-menang bagi Malaysia dalam mendapatkan lebih banyak peluang pindahan teknologi dari Itali manakala negara itu akan mendapat manfaat daripada pasaran perniagaan.
Zahid berkata Malaysia menyasar meningkatkan perdagangan dalam sektor keselamatan, komunikasi, pertanian, pembuatan dan pelancongan serta menarik lebih banyak pelaburan dari Itali.
"Malaysia mahu menjadi rakan dagangan Itali. Sekarang ini kita hanya menjadi pengguna akhir bagi produk Itali," katanya kepada pemberita Malaysia semasa lawatan beliau ke pejabat Kedutaan Malaysia, di sini, semalam.
Turut hadir ialah Duta Malaysia ke Itali Datuk Abdul Samad Othman.
Ketika ini, Malaysia memiliki perjanjian pindahan teknologi dalam sektor pertahanan dengan Itali, kata Ahmad Zahid.
Justeru, beliau mengarahkan agensi relevan terutamanya Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk berhubung dengan agensi Itali bagi merealisasikan usaha dalam perdagangan.
Beliau berkata Malaysia menerima sambutan menggalakkan daripada komuniti perniagaan Itali semasa pameran perdagangan antarabangsa, 2015 Milan Expo, tahun ini.
"Pavilion Malaysia selama enam bulan yang mempamerkan keupayaan kita dalam pelbagai sektor telah berjaya menarik 3.07 juta pengunjung," katanya.
Zahid berkata lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Itali Oktober lepas juga merupakan pemacu bagi meneruskan hubungan perdagangan yang lebih kukuh dengan negara itu.
Pada Ogos tahun ini, nilai perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM5.5 bilion, dengan eksport Malaysia ke Itali berjumlah 466.3 juta euro dan import 692 juta euro.
"Sehingga September 2015, pelaburan Itali di Malaysia bernilai 487 juta euro dan mewujudkan 4,543 peluang pekerjaan dalam negara," katanya.
Malaysia juga menerima kedatangan 27,227 pelancong Itali sehingga Julai tahun ini dan angka itu dijangka meningkat kepada 45,000 pada akhir tahun, katanya.

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada