Malaysia hantar pakar ke Australia

Malaysia akan menghantar pakar ke Australia pada Februari depan bagi membantu negara itu menangani isu keganasan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka terdiri daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pensyarah universiti.
Menurutnya, Australia menghadapi isu keganasan terutama datang dari Timur Tengah dan imigran yang masuk ke negara itu serta menimbulkan masalah di sana.
"Kami menawarkan kepada mereka untuk menghantar pakar Malaysia ke sana bagi mengadakan latihan selain berkongsi pengalaman kita berhubung acuan pemulihan yang dilaksanakan di sini.
"Australia juga menghadapi masalah sama dan mereka bukan negara Islam. Justeru, dengan beberapa cadangan, kita akan mengemukakannya kepada mereka," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Menteri Kehakiman Australia, Hon Michael Keenan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berharap perhimpunan yang diadakan bersama Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kelab Sultan Sulaiman malam ini tidak menjadi platform perpecahan parti.
Ahmad Zahid berpandangan pihak penganjur perhimpunan itu tidak berhasrat untuk memecah-belah parti berkenaan.
"Bagaimanapun, ia dibuat untuk melepaskan beberapan pandangan yang pada hemat saya ia harus didengar kami dalam kerajaan dan UMNO.
"Bukan hasrat menyokong, tetapi kita fikir jika ia tidak diluahkan secara terbuka, ia tersebar luas dalam media sosial.
"Sudah tentu kita mengharapkan supaya menggunakan Perhimpunan Agung UMNO untuk mengadakan silaturrahim dan tidak guna platform lain untuk mengukir peta baru dalam landskap politik di negara ini terutama dalam kalangan UMNO," katanya ketika diminta mengulas mengenai Muhyiddin yang dijangka berucap dalam satu perhimpunan khas pada 8.30 malam ini di Kelab Sultan Sulaiman.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi