Malaysia Guna Saluran Diplomatik Bawa Pulang Mayat Bernard Then - Ahmad Zahid

Kerajaan Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik untuk membawa pulang mayat rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen, yang diculik dan dipenggal di selatan Filipina, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata usaha sedang dijalankan agar tuntutan ke atas mayat Then oleh keluarga mendiang dapat dijalankan dengan mudah.
"Kita nak bawa pulang secepat mungkin... kita sedang mengelolakannya," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Naib Presiden Zambia Inonge Mutukwa Wina di sini hari ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Sabtu lalu memaklumkan bahawa pihak berkuasa Filipina mengesahkan kepala yang dijumpai di Kepulauan Jolo di selatan Filipina adalah milik Then berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Then, yang berasal dari Sarawak, diculik sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 14 Mei lepas bersama-sama pengurus restoran itu, Thein Nyuk Fun, 50. Thein kemudian dibebaskan pada 8 Nov.
Namun Then, 39, dipenggal kepalanya di lokasi terpencil di Kepulauan Jolo pada 11 Nov lepas.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata mesyuarat Kabinet semalam turut membincangkan beberapa perkara yang melibatkan soal sensitiviti kaum di negara ini.
Mengambil contoh soal perniagaan, Zahid berkata semua pihak perlu mengelak daripada melakukan sebarang perkara yang boleh mendatangkan rasa tidak puas hati antara peniaga dengan pelanggan.
"Jangan anggap semua perkara ada kaitan perkauman kerana akan memberi gambaran tidak baik kepada negara kita sedangkan keharmonian mahu kita pertahankan," katanya.
Ahmad Zahid berkata mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya semalam turut mengarahkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta jabatan dan agensi berkenaan agar bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan bagi mempertingkat keselamatan di kawasan tumpuan orang ramai.
Katanya pihak berkenaan perlu mengenal pasti kawasan yang menjadi tumpuan pelancong tempatan terutama semasa cuti sekolah bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
"Perlu ada amaran terhadap monsun atau tiupan angin (di kawasan rekreasi) yang akan membahayakan ahli keluarga," katanya, sambil menambah, suasana gembira pada masa cuti sekolah tidak patut berakhir dengan kematian.
Menyentuh mengenai Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara yang diluluskan di Dewan Negara pada Selasa, Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan ia bukan untuk mengukuhkan kuasa mana-mana individu.
Malah, katanya, rang undang-undang itu juga bukan bertujuan mengambil kuasa daripada Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya dirangka bagi mengukuhkan keselamatan negara. -- BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada