Kerajaan Negeri Diminta Lanjut Pengecualian Royalti Daripada Tanah Berimilik

Kerajaan negeri diminta melanjutkan pengecualian bayaran royalti ke atas pengeluaran kayu getah, batang kelapa sawit dan batang kelapa dari kawasan Tanah Berimilik sehingga 31 Dis 2016, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat ke-17 Majlis Tanah Negara di sini hari ini yang dipengerusikannya serta turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
"Pengecualian bayaran royalti itu selaras dengan dasar kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan kayu getah, komposit bahan kelapa sawit dan kelapa," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu
Beliau berkata mesyuarat hampir dua jam itu turut bersetuju agar Pihak Berkuasa Negeri menyemak semula prosedur kelulusan permit ruang udara bagi struktur seperti cucur atap, kajang dan langkan.
Prosedur tersebut dikeluarkan menurut Seksyen 75A Kanun Tanah Negara di dalam skim pembangunan berstrata bagi maksud permohonan hak milik strata agar menggunakan proses kerja baharu serta menyemak semula kadar bayaran tahunan permit ruang udara bangunan berstrata, katanya.
"Proses kerja permohonan dan kelulusan permit ruang udara dapat dikurangkan dengan pelaksanaan proses kerja baharu tersebut," katanya.
Ahmad Zahid berkata mesyuarat hari ini juga sebulat suara mahu pelaksanaan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) sentiasa dipantau, dikaji dan diperkemas sejajar dengan perubahan semasa.
"Ini agar pelaksanaan CTT bagi setiap tempoh Rancangan Malaysia sentiasa praktikal," katanya, sambil menambah bahawa CTT merupakan satu daripada keperluan utama dalam pensijilan pengurusan hutan.
Ahmad Zahid berkata menerusi pelaksanaan Pengurusan Hutan Mampan serta proses pensijilan pengurusan hutan, kayu-kayan negara akan dapat terus diperdagangkan dan diterima di pasaran antarabangsa.
Mesyuarat hari ini juga setuju supaya pengoperasian Industri Berasas Kayu (IBK) secara sah akan membantu Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia memantau dan menjalankan penguatkuasaan dengan lebih cekap serta berkesan seterusnya membantu melonjakkan ekonomi negara, katanya.
"Memandangkan industri pemprosesan kayu telah wujud sejak sekian lama, maka terdapat IBK yang beroperasi di atas tanah pertanian dan tidak dapat dilesenkan oleh Pihak Berkuasa negeri kerana tidak memenuhi syarat guna tanah," kata Ahmad Zahid.
Mesyuarat turut mengambil maklum pindaan enakmen mineral bagi memenuhi keperluan Konvensyen Minamata Mengenai Merkuri sebagai satu daripada triti alam sekitar antarabangsa bagi meningkatkan tadbir urus pengurusan bahan berbahaya untuk melindungi kesihatan manusia dan alam sekitar.
Turut dibincangkan adalah keputusan penilaian sistem penarafan bintang pentadbiran tanah tahun 2014 dengan Pejabat Tanah Besut, Terengganu; Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah, Kelantan dan Pejabat Tanah Kota Setar, Kedah telah dianugerah taraf Lima Bintang.
Selain itu, mesyuarat juga membincangkan mengenai penubuhan Jawatankuasa Geopark Kebangsaan bagi memastikan inisiatif pembangunan kawasan geopark seperti Pulau Langkawi berjalan lancar.

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada