Kerajaan Komited Pastikan Kesaksamaan Terus Terpelihara - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesaksamaan terus terpelihara untuk rakyat hidup aman, makmur dan tenteram.
Beliau berkata adalah menjadi iltizam kerajaan untuk mengambil kira pandangan semua pihak dalam mentadbir negara ini.
"Di samping kita meraikan perbezaan pendapat, saya menyeru agar perbezaan pendapat ini diraikan dalam keadaan yang harmonis, tanpa menyinggung mana-mana pihak," katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2016 pada Khamis.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut meminta rakyat berhati-hati dengan 'maklumat di hujung jari' yang mudah diperoleh pada dunia masa kini.
Katanya, tidak semua maklumat yang terhidang itu, adalah jujur dan tepat, yang mana ledakan maklumat ini boleh digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memusnahkan negara dan institusi kenegaraan.
"Kita kini berhadapan dengan 'pengganas persepsi' yang menggunakan kemahiran mereka dalam berkomunikasi untuk mengubah persepsi rakyat negara ini serta 'mengecaikan' perpaduan kaum yang diusahakan oleh kita selama setengah dekad kita mencapai kemerdekaan," kata Ahmad Zahid.
Sementara itu, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berkata warganegara Malaysia perlu melindungi asas-asas kenegaraan sebagai satu perkara yang tidak boleh diusik, untuk menyelesaikan masalah sedia ada yang menjadi penghalang untuk kita bergerak ke hadapan.
"Pada 2016, kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menyekat lingkaran ganas, dan memulakan langkah ke arah penyembuhan dan perdamaian.
"Selepas banyak pergolakan sepanjang 2015, negara harus menyedari perpaduan dan kekuatannya," kata beliau.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi