KDN pertahan keputusan gantung permit The Edge

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berpegang kepada pendirian bahawa tindakannya menggantung permit akhbar The Edge selama tiga bulan adalah kerana penerbitan itu boleh memudaratkan negara.
Kementerian itu menjelaskan permit akhbar berkenaan digantung kerana hasil penyiarannya mengandungi penerbitan yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai atau mungkin memudaratkan ketenteraman atau kepentingan awam, kepentingan negara serta keselamatan.
"Bagaimanapun, kes ini sedang berjalan dan masih dalam tindakan Mahkamah Rayuan," menurut KDN melalui jawapan bertulis kepada soalan Datuk Zainudin Ismail (BN-Jelebu) yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.
Zainudin ingin mengetahui tindakan yang telah dan akan diambil kerajaan ke atas akhbar dan penerbit Sarawak Report, The Edge, Wall Street Journal (WSJ) kerana dikatakan menyiar berita yang tidak benar, berniat jahat dan menggunakan sumber tak sah.
Bagaimanapun, tiada jawapan diberikan berhubung tindakan lanjut kerajaan terhadap Sarawak Report dan WSJ.
Pada 24 Julai lepas, KDN mengambil keputusan menggantung dua penerbitan The Edge Communication Sdn Bhd (The Edge) iaitu The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily, berkuat kuasa 27 Julai.
Dalam satu kenyataan, KDN menyatakan sebab kedua-dua penerbitan itu digantung ialah syarikat berkenaan menggunakan tajuk dan cara pelaporan serta pemberitaan yang boleh menimbulkan persepsi negatif kepada masyarakat terhadap syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang seterusnya berkait dengan kerajaan dan kepimpinan negara.
Selain itu, menurut KDN, laporan penerbitan berkenaan disiarkan bersumberkan maklumat yang diragui kesahihannya yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan boleh atau mungkin memberi kemudaratan kepada ketenteraman awam dan kepentingan negara.
Sebab ketiga, menurut kementerian, pemberitaan yang menimbulkan persepsi negatif terhadap 1MDB tidak wajar kerana syarikat berkenaan sedang disiasat oleh pasukan penyiasat daripada pelbagai agensi.
Pada 23 September lepas, KDN telah memfailkan notis rayuan untuk merayu di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Kuala Lumpur yang membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri berhubung penggantungan sementara kedua-dua penerbitan itu.
Sementara itu, Zainudin turut ingin mengetahui tindakan kerajaan terhadap individu-individu yang disebut dalam pengakuan bekas eksekutif Petrosaudi International, Xavier Andre Justo, yang dikatakan terlibat dengan pembelian maklumat curi berkaitan 1MDB.
Berhubung isu ini, KDN menyatakan, Polis Diraja Malaysia telah menjalankan siasatan berkaitan Sentul Report 12685/2015 bertarikh 18 Julai 2015 di bawah Seksyen 124(B) dan 124(J) Kanun Keseksaan.
"PDRM tidak berhasrat untuk mendedahkan sebarang maklumat berkaitan perkara ini kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan," menurut kementerian itu.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi