Timbalan Presiden Tidak Rasmi Mesyuarat Sayap UMNO Pada PAU 2015



Tidak seperti kelaziman pada setiap Perhimpunan Agung UMNO (PAU), Timbalan Presiden UMNO kali ini tidak akan merasmikan mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap parti - Wanita, Pemuda dan Puteri - yang dijadualkan berlangsung bulan depan.


Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Selasa memutuskan bahawa ketiga-tiga mesyuarat itu akan dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan daripada semua sayap berkenaan.


"Perasmian berasingan. Ini diputuskan hasil cadangan sayap masing-masing, mereka bawa dalam mesyuarat. Itulah kehendak mereka, dan kita menghormatinya," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Bilik Jawatankuasa 2, Bangunan Sementara Parlimen di sini Selasa.


Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak menghadiri mesyuarat MT itu, yang berlangsung kira-kira satu jam setengah mulai 6 petang.


Muhyiddin dan Shafie dilaporkan berada di luar negara.


Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata MT dalam mesyuarat hari ini membuat keputusan itu kerana mahu memastikan Perhimpunan Agung UMNO itu berlangsung dalam suasana baik dan mengikut perjalanan yang boleh melihat kepada suasana positif.


" ...maka, ini antara keputusan yang kita buat bahawa persidangan Wanita Pemuda dan Puteri akan dirasmikan oleh ketua sayap masing-masing," katanya.


Pada sidang akhbar itu, Najib turut mengumumkan bahawa MT telah memutuskan sebulat suara untuk memecat Ketua Wanita Bahagian Gopeng Datuk Hamidah Osman daripada UMNO kerana melanggar disiplin parti.


Beliau tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.


"Keputusan yang kita buat hari ini (kerana) kita pentingkan soal perjalanan parti kita dalam semua aspek. Antaranya, kita mesti melihat parti kita kukuh, terus mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat.


"Semua golongan mesti yakin bahawa UMNO sebuah parti yang berdiri dalam soal keadilan, soal prinsip amalan yang baik dalam parti dan mengambil kira segala kebaikan yang perlu kita lakukan," katanya.


Najib mengakhiri sidang akhbar itu selepas selesai memberikan kenyataannya, tanpa sempat wartawan mengajukan soalan.


Antara yang menghadiri mesyuarat MT itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO dan seorang lagi Naib Presiden parti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.


Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari UMNO Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi