Proses Pengampunan Warga Asing Perlu Lalui Sistem Perundangan Malaysia


Proses pengampunan warganegara asing yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di Malaysia perlu melalui dan mengikuti prosedur sistem perundangan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Dalam melakukan rayuan terhadap keputusan yang telah diputuskan mahkamah, mereka yang berkenaan boleh melakukannya dengan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan atau boleh dibawa terus ke Mahkamah Persekutuan selepas itu," katanya.


Ahmad Zahid bercakap pada sidang media selepas menerima kunjungan Menteri Penyelarasan Politik, Undang-undang dan Keamanan Indonesia Luhut Binsar Panjaitan di pejabatnya di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan Indonesia telah mengemukakan 36 rayuan terhadap rakyatnya yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati kepada Lembaga Pengampunan menerusi peguam.

Katanya, seperti mana pesalah lain, rakyat Indonesia itu juga telah melalui proses perundangan yang ditetapkan, dan ia perlu dihormati.

Keputusan rayuan itu masih belum diputuskan dan Luhut yang dimaklumkan mengenainya menghormati proses perundangan negara ini, katanya.

Ahmad Zahid berkata sejumlah 81 pesalah warganegara Indonesia yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati merupakan antara 4,896 warganegara itu yang menjalani hukuman di beberapa penjara di Malaysia.

"Daripada 81 pesalah itu, 65 daripadanya terbabit dalam kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, 13 kes bunuh, dua kes culik dan seorang terlibat dalam kes berkaitan senjata api," katanya.

Ahmad Zahid berkata pada pertemuan itu Luhut turut merakamkan penghargaan negaranya kepada Malaysia, khususnya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang terlibat secara langsung dalam misi memadam kebakaran ladang di Sumatera Selatan baru-baru ini.

Beliau berkata Indonesia amat menghargai sumbangan tenaga agensi itu termasuk kesudian APMM menghantar pesawat Bombardier CL 415, yang mampu membawa jumlah air yang banyak bagi memadam kebakaran di beberapa kawasan di sana.

Pertemuan itu turut membincangkan mengenai Perjanjian Pencegahan Jenayah Rentas Sempadan antara Malaysia dan Indonesia yang dikemukakan Malaysia kepada Indonesia sebelum ini, katanya.

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada