KDN Siasat Dakwaan Warga Bangladesh Salah Guna Pas Pekerjaan



Kementerian Dalam Negeri akan menyiasat dakwaan bahawa lebih 20,000 warga Bangladesh yang tidak memenuhi syarat kemasukan ke Malaysia, dipercayai dibawa masuk ke negara ini menggunakan pas pekerjaan (EP) bagi ekspatriat dengan butiran palsu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jika benar dakwaan itu, kementerian akan mengambil tindakan bukan sahaja kepada pekerja, malah majikan dan ejen terlibat.


"Kalau benar mereka salah guna sijil dan permit berkenaan, kita akan lakukan siasatan kerana kita tiada perjanjian yang dimuktamadkan untuk membawa masuk pekerja bukan ekspatriat, separa mahir dan mahir dalam Malaysia.

"Mungkin ada dalam kalangan ejen yang membawa masuk pekerja terbabit sudah menyalah guna kuasa atau menipu Jabatan Imigresen dengan membuat permohonan seolah-olah mereka itu pegawai ekspatriat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Pemakaian Pangkat Bersekutu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kepada 123 pemimpin muda di bawah Kesateria Muda Keselamatan (KMK) di Pusat Dagangan Dunia Putra Rabu.

Katanya Jabatan Imigresen hanya meluluskan permit pegawai dagang iaitu mereka yang terdiri daripada pekerja separa mahir dan mahir serta golongan ekspatriat yang merupakan golongan profesional.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu semalam melaporkan kemasukan warga Bangladesh berkenaan sejak dua tahun lepas diuruskan sindiket yang mengenakan bayaran sehingga mencecah RM6,000 untuk satu kemasukan warga asing terbabit.

Sindiket itu beroperasi menggunakan nama ekspatriat bagi warga Bangladesh yang akan bekerja di restoran, kedai peralatan komunikasi, pusat urut dan pengawal keselamatan.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi